Senarai Blog Saya

JOM FOLLOW | ...:::: BGM online ::::....

Jumaat, 2 Oktober 2009

Terkejut sejadah 'berdiri' sendiri

demokrasi93.blogspot.com

BUKIT MERTAJAM - Sepasang suami isteri yang berselisih faham mengenai arah kiblat di rumah mereka di Taman Haji Mohd Amin, Permatang Pauh di sini terkejut apabila sejadah yang terdapat dalam salah sebuah bilik di kediaman mereka tiba-tiba 'berdiri' dengan sendiri malam tadi.

Pasangan Mohamad Shuhaimi Md Ilias dan Zainab Ramli masing-masing berusia 26 tahun menyedari kejadian ganjil berkenaan kira-kira pukul 9.30 malam dan masih lagi dalam keadaan demikian setakat 1.30 tengah hari.

Mohamad Shuhaimi yang bekerja di sebuah syarikat telekomunikasi di sini berkata sejadah berkenaan merupakan hantaran perkahwinan mereka dan ia digunakan sejak tiga tahun lepas.

"Sebelum ini kami tidak pernah berselisih faham mengenai arah kiblat di rumah dan ia mula menjadi pertikaian semalam selepas arah kiblat berbeza dengan apa digunakan masjid berhampiran rumah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya ketika kejadian beliau sedang memandikan anak perempuan mereka berusia dua tahun, manakala isterinya pula sedang menggosok pakaian di bilik berlakunya kejadian ganjil itu.

Mohamad Shuhaimi berkata beliau yang menghamparkan sejadah itu di bilik berkenaan sebelum memandikan anaknya dan tiba-tiba dipanggil oleh Zainab yang berada dalam keadaan ketakutan serta terkejut.

"Isteri beritahu sejadah dihamparkan tadi berdiri secara sendiri ketika dia hendak mengambil pakaian untuk digosok. Saya yang bergegas ke bilik itu terkejut melihatnya.

"Saya bertanya kepada isteri saya sama ada dia ada terkuis sejadah terbabit dengan menggunakan kakinya sehingga menyebabkannya 'berdiri', tetapi dia menafikannya dengan mengatakan ia berdiri secara sendiri," katanya.

Katanya beliau menganggap kejadian itu mempunyai hikmahnya tersendiri dan berkemungkinan hendak memberitahu keluarganya mengenai arah kiblat yang sebenarnya.

Kejadian itu menyebabkan rumah mereka menjadi tumpuan kerana orang ramai berpusu-pusu datang untuk melihat sendiri sejadah 'berdiri' berkenaan. - Bernama

Tiada ulasan: