Senarai Blog Saya

JOM FOLLOW | ...:::: BGM online ::::....

Rabu, 14 Oktober 2009

Nik Aziz akur silap strategi

demokrasi93.blogspot.com

KOTA BHARU - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abd Aziz Nik Mat tidak menolak kemungkinan faktor kesilapan strategi menyebabkan parti itu tewas dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, baru-baru ini.

Dalam masa sama, Menteri Besar Kelantan itu berkata, Pas menghadapi kesukaran menembusi kawasan Bagan Pinang yang masyarakatnya masih lagi tidak terdedah dengan perjuangan parti tersebut.

“Boleh jadi, (silap strategi) orang Negeri Sembilan tidak biasa dengan Pas. Contohnya, rumah yang saya pergi tidak tahu apa itu Pas, yang dia kenal Pas ini ganas,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK 2009) Peringkat Negeri Kelantan, di sini semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengarah Pilihan Raya Pas Kelantan, Abd Fatah Harun yang mendakwa faktor kekalahan parti itu di Bagan Pinang adalah disebabkan kesilapan strategi khususnya penceramah Pas yang banyak menggunakan pendekatan menyerang berbanding penerangan.

Sehubungan itu, Nik Aziz berkata, adalah perkara yang sukar untuk petugas Pas menjalankan kempen lebih-lebih lagi terdapat banyak unsur ugutan yang berlaku sepanjang pilihan raya tersebut dijalankan.

“Orang Negeri Sembilan masih ketinggalan dengan Pas. Oleh itu, bila kita berkempen, sudah la benda baru, bila datang ugutan (dari Barisan Nasional) makin mereka tidak mahu,” katanya.

Nik Aziz berkata, konsep 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pentadbiran beliau akhirnya akan ditentang kalangan ahli UMNO sendiri.

Malah, menurutnya, konsep tersebut akan ditolak masyarakat pelbagai kaum di negara ini kerana ia diperkenalkan individu yang berada dalam sebuah parti Melayu.

“Bagi saya, 1Malaysia tidak boleh. Teori ini keluar daripada Presiden UMNO. Dia sendiri parti Melayu, kalau dia kata ‘united Muslim’ lain. Tetapi bila dia sebut ‘united Melayu’, kenapa Cina nak terima Melayu, mereka mempunyai bahasa dan tulisan sendiri.

“Malah, mereka mempunyai sejarah yang jauh lebih hebat dari Melayu. Adakah mereka perlu turun ke bawah? Melayu masih di bawah, ekonomi di bawah, kesihatan di bawah. Jadi adakah mereka akan ikut?" katanya.

Dalam perkembangan lain, Nik Aziz mengakui bahawa terdapat banyak infrastruktur di Negeri Kelantan menamakan bangunan mereka dengan menggunakan istilah bahasa Inggeris.

“Oleh itu, saya minta kaji semula supaya Bahasa Melayu dipopularkan. Tanda jalan, nama hotel semua sekali. Di Kelantan saya tidak tersedar kerana suasana dan keadaan menyebabkan saya sebagai pemimpin hanyut,” katanya.

Tiada ulasan: