Sabtu, 2009 November 28
gambar sekitar majlis penyembelihan korban PAS BATU GAJAH di Tronoh
Rabu, 2009 November 25
Husam Tidak Mahu Jawatan MB Kelantan
KOTA BAHARU: Timbalan Pesuruhjaya II PAS Kelantan, Datuk Husam Musa berkata beliau akan menolak tawaran jika dilantik menjadi Menteri Besar Kelantan, untuk menggantikan Datuk Nik Abdul Abdul Aziz Nik Mat.
Beliau berkata Datuk Ahmad Yaakob lebih layak menjadi Menteri Besar Kelantan kerana senioriti serta hiraki di dalam kerajaan dan parti iaitu sebagai Timbalan Menteri Besar dan Timbalan Pesuruhjaya I PAS Kelantan.
"Semua calon layak, Timbalan Menteri Besar lebih layak lagi sebab dia paling senior.
"(Cuma) jangan calonkan nama saya cukup, kerana saya tidak mahu dicalonkan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada ibu tunggal yang terpaksa menanggung anak yang menghidap down sindrom di Kampung Becah Keranji, dekat sini, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan Bernama semalam bahawa Nik Abdul Aziz tidak menolak wujud kumpulan pelapis dalam PAS Kelantan yang bakal mengambil alih tempatnya sebagai Menteri Besar sekiranya beliau melepaskan jawatan itu.
Bagaimanapun, beliau enggan membayangkan siapa nama yang disebut-sebut bakal menggantikannya, tetapi memberi gambaran ia tertakluk kepada hiraki dalam parti di peringkat negeri di mana wujudnya Pesuruhjaya, Timbalan Pesuruhjaya Satu hingga Tiga.
Pesuruhjaya PAS III Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dalam laman web Malaysian Insider dipetik sebagai berkata Nik Aziz perlu mengumumkan calon penggantinya bagi mengelak perebutan dan konflik dalam PAS Kelantan apabila beliau tiada.
Sehingga kini Ahmad yang disebutsebut di kalangan pemimpin dan penyokong PAS Kelantan kerana ketokohan ulama dan dirinya yang dilihat tidak pernah dicemari dengan pelbagai isu kontraversi.
Selain Ahmad, Husam dan Mohd Amar turut disebutsebut sebagai bakal menggantikan Nik Abdul Aziz.
Husam, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Kewangan, Ekonomi dan Kebajikan Negeri berkata, berkata isu itu tidak perlu dihebohkan, kerana siapa yang dipilih memegang jawatan itu beliau akan menyokong.
Husam berkata beliau akan mengkaji dengan peguamnya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap laporan akhbar New Straits Times Press (NSTP) dan Utusan Malaysia yang menyiarkan berita berbau fitnah terhadapnya.
Katanya, beliau memberi tempoh seminggu ke atas keduadua akhbar itu untuk menyiarkan kenyataan permohonan maaf terhadapnya sebelum beliau mengemukakan saman di mahkamah.
Husam sebelum ini "diserang" oleh media tempatan dengan dakwaan beliau telah meletak jawatan dalam kerajaan dan politik berikutan konon beliau memberikan kata dua kepada Nik Abdul Aziz berhubung pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) Abdul Ariffahmi Abdul Rahman yang di dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Mengenai kenyataan Nik Aziz yang memuji beliau sebagai pemimpin muda PAS yang berkaliber, Husam berkata beliau berterima kasih di atas penghargaan itu.
"Saya ucap terima kasih kerana saya dua tahun menderita kerana (dikatakan) menentang kerajaan perpaduan dan saya difitnah kiri kanan, blog yang tidak ada nama hentam saya, macam-macam program diatur untuk menanyakan saya, tetapi saya tidak boleh balas balik kerana nak jaga perpaduan dalam parti dan imej parti," kata Husam. BERNAMA
Speaker terima penggantungan pilihan raya kecil Kota Siputeh
ALOR SETAR - Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Datuk Dr Abd Isa Ismail menerima dengan terbuka perintah penggantungan sementara Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh.
Beliau berkata, keputusan penggantungan yang dibuat semalam, ada rasionalnya kerana mahkamah telah memberi alasan yang munasabah.
"Mahkamah Tinggi telah membuktikan saya betul tetapi saya tidak tahu bagaimana dengan keputusan Mahkamah Rayuan nanti," katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.
Beliau berkata, pihaknya juga tidak boleh berbuat apa-apa jika kes itu mengambil masa yang lama untuk diselesaikan kerana segalanya terletak dalam bidang kuasa mahkamah.
"Tetapi secara rasmi memang kerusi DUN Kota Siputeh kosong dan sepatutnya ia tidak boleh dibiarkan begitu sahaja kerana rakyat perlu ada wakil mereka," katanya.
Keterbukaan Nik Aziz, Ariffahmi patut dicontohi: Abu Bakar

Pesuruhjaya Pas Perak, Abu Bakar Hussain berkata, keputusan berkenaan dilihat sebagai jalan terbaik dan bukti integriti yang tinggi kerana menerima pandangan Pas Pusat dengan mengetepikan kepentingan keluarga dan cirinya demi perjuangan Islam dan parti.
Menurutnya, sikap keterbukaan Nik Aziz dalam menyelesaikan masalah ini perlu dicontohi oleh semua pemimpin Pas Pusat dan negeri bahkan pemimpin Barisan Nasional (BN) juga seharusnya mengambil pendirian yang sama dalam menyelesaikan masalah.
“Kalau beginilah cara dan pendekatan yang menjadi amalan dan pegangan kepada semua pemimpin politik, tidak mustahil masalah remeh-temeh mahupun besar dapat diselesaikan secara terhormat.
Selasa, 2009 November 24
Nik Aziz sudah ada pelapis

KOTA BAHARU - Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak menolak terdapat kumpulan pelapis dalam PAS Kelantan yang bakal mengambil alih tempatnya sebagai Menteri Besar jika beliau melepaskan jawatan itu.
Beliau yang enggan membayangkan nama yang disebut-sebut bakal menggantikannya itu, bagaimanapun memberi gambaran ia tertakluk kepada hiraki dalam parti di peringkat negeri.
Nik Aziz juga tetap menegaskan beliau tidak akan meletak jawatan semata-mata kerana kemelut yang kini melanda dalam PAS atau atas desakan mana-mana pihak.
"Saya tidak akan melepaskan jawatan kecuali kerana uzur atau tua, tetapi pada masa ini belum sampai masanya lagi," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di rumahnya, di sini malam ini.
Nik Aziz berkata demikian bagi mengulas kenyataan Pesuruhjaya PAS III Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dalam laman web Malaysian Insider yang dipetik sebagai berkata Nik Aziz perlu mengumumkan calon penggantinya bagi mengelak perebutan dan konflik dalam PAS Kelantan apabila beliau tiada. -Bernama
Pas Pusat berhak tegur pentadbiran negeri
KOTA BHARU - Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Nik Aziz Nik Mat berkata, beliau tidak tertekan ataupun pun tergugat dengan tindakan Pas Pusat menasihatinya supaya menantunya, Abdul Ariffahmi Abdul Rahman berundur dari jawatan ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).
Menyifatkan perkara tersebut lumrah dalam sebuah parti, Mursyidul Am Pas itu berkata, apa yang dilakukan oleh Pas Pusat itu adalah adil memandangkan beliau sendiri menegur kepimpinan pusat supaya mengadakan Muktamar Khas Agung (EGM) baru-baru ini.
“Tak ada tekanan, biasa la, sebelum ini saya tekan (Pas) pusat melalui cadangan pemilihan baru parti, sekarang pusat tekan saya, pakat tegur menegur, asas Islam begitu,”katanya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Harian Pas Kelantan di kediaman rasminya di sini semalam.
Beliau berkata demikian ketika ditanya kewajaran tindakan Pas pusat yang diketuai presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Haron Din membuat kunjungan serta memberi nasihat bagi menyelesaikan kemelut yang melanda perbadanan tersebut kelmarin.
keputusan sudah dijangka
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini berjaya dalam permohonannya untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mahu satu pilihan raya kecil diadakan di DUN Kota Siputeh, Kedah.
Panel tiga orang hakim Mahkamah Rayuan, terdiri Datuk Sulong Matjeraie, Datuk Kang Hwee Gee dan Datuk Abdul Aziz Rahim memutuskan bahawa wujud keadaan khas untuk menangguhkan sementara keputusan untuk mengadakan pilihan raya kecil kepada suruhanjaya itu.
"Kebenaran penghakiman yang diputuskan oleh Hakim Mahkamah Tinggi perlu diuji di mahkamah lebih tinggi," kata Hakim Sulong selepas hampir dua jam panel tiga hakim itu mendengar permohonan yang difailkan oleh suruhanjaya itu pada Selasa.
Dalam penghakiman yang dibacakan pada pukul 7.24 malam, Hakim Sulong berkata mereka telah bersetuju sebulat suara bahawa tidak ada pihak akan mengalami akibat dan prasangka jika perintah penangguhan itu dibenarkan.
Beliau berkata keputusan tersebut dibuat bagi mengelakkan pilihan raya kecil yang tidak sepatutnya berlaku dan pembaziran dana awam.
Terdahulu, Datuk Abu Hassan Sarif hari ini memfailkan permohonan untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 16 November lalu yang memutuskan beliau bukan lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh dan kerusi berkenaan telah kosong serta satu pilihan raya kecil perlu diadakan.
Beliau memfailkan dokumen itu dihadapan pendaftar Mahkamah Rayuan melalui peguamnya, Abu Bakar Isa Ramat di sini pada Selasa.
Abu Hassan secara peribadi mengesahkan afidavit-afidavit di hadapan Pesruhujaya Sumpah di Putrajaya pada pukul 10 pagi tadi.
Satu lagi permohonan serupa yang difailkan oleh SPR turut didengar di Mahkamah Rayuan pada pukul 2.30 petang tadi.
Kemelut MCA buka peluang DAP

GOMBAK SETIA- Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Mohammed Ali menganggap kemelut yang melanda MCA adalah peluang emas dan kesempatan DAP untuk meraih sokongan di kalangan kaum Cina.
Menurut Dr Hassan, peluang emas itu perlu digunakan sebaik mungkin agar kaum Cina yang dilihat hilang tempat bergantung itu dapat bersama dalam Pakatan Rakyat (PR) sekali gus memberi kemenangan dalam Pilihan Raya Umum (PRU ) akan datang.
Katanya, krisis yang melanda MCA bukan sahaja akan memberi kemenangan kepada DAP malah secara tidak langsung menjejaskan dan membantutkan transformasi yang dilakukan UMNO untuk meraih semula sokongan rakyat.
“Apa yang berlaku sememangnya memberi khabar gembira dan peluang keemasan kepada PR terutama parti DAP dalam meraih sokongan terutama kepada pengundi-pengundi kaum Cina.
“Ini bukan pertama kali berlaku namun peluang keemasan in sebenarnya telah berlaku secara tidak langsung semasa krisis yang melanda pari Gerakan dan MIC sebelum ini yang mana telah memberi peluang kepada PR untuk meraih sokongan rakyat,” katanya.
Dr Hassan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, berkata, rakyat semakin muak dengan krisis yang telah melanda parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) seperti parti Gerakan dan MIC sehingga mereka beralih sokongan kepada PR.
Sementara itu, Pengerusi DAP Wangsa Maju, Lim Ching How mengakui krisis berpanjangan yang hampir lapan bulan itu membuatkan rata-rata pengundi kaum Cina bosan dan benci dengan kekecohan yang berlaku dan dalam masa yang sama turut menerima borang keahlian dari beberapa ahli MCA.
Isnin, 2009 November 23
Bila 'Lelaki' Bernama Thomas Beatie Melahirkan Anak
Thomas Beatie melahirkan seorang anak perempuan pada bulan Julai tahun lepas.-Foto ehsan www.edaransalindah.comTHOMAS Beatie merupakan seorang lelaki yang pernah mengandung dan melahirkan seorang anak perempuan pada bulan Julai tahun lepas.
Jejaka berumur 35 tahun ini sebenarnya dilahirkan sebagai seorang perempuan bernama Tracy Logondino.
Dia kemudiannya menukar jantinanya kepada lelaki apabila jatuh cinta dengan seorang lagi perempuan bernama Nancy Roberts yang kini beumur 46 tahun.
Isterinya Nancy, terpaksa membuang rahimnya kerana masalah kesihatan 21 tahun yang lalu dan itulah yang membuatkan Thomas untuk cuba mengandung.
Untuk menukar jantinanya, Thomas terpaksa menjalani beberapa prosedure seperti pembedahan jantina, pembinaan semula buah dada, mengambil terapi testosteron serta suntikan hormon.
Tetapi satu perkara uang Thomas tidak lakukan ialah membuang rahimnya yang masih membolehkannya mengandung seperti wanita lain.
“Bagaimana rasanya jika seorang lelaki mengandung? Tidak masuk akal, bukan! Namun hakikatnya, perut saya semakin membesar dan saya yakin saya masih lelaki,” katanya kepada sebuah majalah luar negara pada bulan Mac tahun lalu.
Sebelum mengandung, Thomas berhenti mengambil suntikan testosteron dan hormon untuk mengembalikan kitaran haidnya.

Menurutnya, dia menggunakan sperma dari seorang penderma yang diperolehi daripada bank sperma bagi membolehkannya mengandung.
Meskipun perutnya semakin membesar pada masa itu, Thomas tetap meneruskan kehidupan sebagai lelaki.
“Lapan tahun haid saya terhenti dengan pengambilan suntikan hormon ini. Saya berhenti mengambilnya selama empat bulan untuk kembali normal dan tidak mengambil ubat untuk hamil,” katanya.
Pasangan Thomas dan Nancy yang kini menetap di Pacific North West, Amerika, menyembunyikan rahsia ini selama sepuluh tahun daripada kawan-kawan dan jiran-jiran di tempat tinggal mereka sebelum bersetuju ditemu bual oleh majalah tersebut.
“Memiliki anak adalah impian semua dan kerana itu kami sanggup lakukan apa saja, termasuk menggunakan kaedah biologi bagi memastikan hasrat ini tercapai,” tambahnya lagi.
Keputusan pecat menantunya Bukti integriti MB Kelantan yang tinggi
KOTA BHARU - Wakil delegasi Pas Pusat, Sallahuddin Ayub menyifatkan keputusan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai bukti integriti yang tinggi kerana menerima pandangan Pas Pusat dengan mengetepikan kepentingan keluarga dan dirinya demi perjuangan Islam dan parti.
“Tok guru menunjukkan sikap cukup tinggi nilai moralnya yang mengutamakan jemaah. Saya cukup sanjung tinggi integriti yang ditunjukkan tok guru (Nik Aziz) ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan Nik Abdul Aziz di Kediaman Rasmi Menteri Besar di sini, semalam.
Beliau berkata, sememangnya dalam pindaan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jelas menyatakan peruntukan bahawa menantu atau anggota keluarga tidak boleh dilantik.
Salahuddin turut menafikan bahawa isu berkenaan merupakan isu yang besar di dalam Pas atau Kerajaan Negeri.
“Ini tak ada kaitan dengan masalah dalaman yang berlaku di Kelantan pada hari ini. Tok Guru buktikan beliau bercakap dan buat apa yang dia cakap. Ini satu integriti yang ditunjukkan seorang Menteri Besar Kelantan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau turut menafikan isu yang membabitkan Exco Kanan Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Husam Musa akan meletak jawatan dan parti dan Kerajaan Negeri.
“Itu tak benar sama sekali. Sabtu lepas kami bermesyuarat di Kuala Lumpur. Beliau hadir dalam mesyuarat Pas Pusat.
“Tak timbul pun soal Datuk Husam letak jawatan. Jadi saya tak nampak ada satu kemelut besar di Kelantan,” katanya.
















