Senarai Blog Saya

JOM FOLLOW | ...:::: BGM online ::::....

Rabu, 14 Oktober 2009

ANTARA NAJIB DAN KHAIRY


demokrasi93.blogspot.com

Image Hosting by imagefra.me

Nampaknya, Najib berkeyakinan tinggi bahawa rasuah (Najib gunakan istilah politik wang) yang membarah dalam Umno dapat dihapuskan melalui pindaan perlembagaan parti itu. Logik Najib, apabila lebih ramai yang menjadi perwakilan untuk memilih pemimpin, maka tentulah calon-calon yang bertanding berfikir beberapa kali untuk merasuah perwakilan kerana bilangan yang besar.

Najib kata, “Kalau 2500 orang boleh dibuat dalam gelap.” Maksudnya, kalau bilangan perwakilan lebih besar tentu rasuah sukar dilakukan termasuk dalam gelap.

Perkiraan Najib ada benarnya kerana kalau jumlah perwakilan adalah belasan ribu orang tentulah calon tidak mampu untuk merasuh mereka yang terlalu ramai itu. Kecuali, calon itu tersangat kaya. Tentu juga dia sangat sukar untuk menutup mulut belasan ribu itu daripada bercakap dan mendedahkan mengenai calon yang merasuh perwakilan.

Maknanya, Najib sangat bergantung kepada bilangan perwakilan untuk membasmi rasuah dalam Umno. Senang rasuah kalau sedikit, tiada rasuah kalau ramai. Penerima rasuah akan senyap kalau sedikit dan akan bising kalau ramai.

Saya tidak tahu bagaimana rupa draf pindaan perlembagaan Umno itu tetapi apa yang dapat saya fahami daripada laporan media, itulah dia.

Image Hosting by imagefra.me

Sementara Ketua Pemuda Umno, Khairi lebih rasional dan berpijak di bumi nyata. Dia lebih celik realiti berbanding Najib. Dia seperti menuntut lebih daripada sekadar bergantung kepada sesuatu yang bersifat lahiriah, tetapi baginya pindaan itu hendaklah ditunjangi sesuatu yang bersifat abstrak iaitu perubahan sikap ahli Umno.

Khairi berkata, “Tranformasi perlembagaan sahaja tidak mengubah segala-galanya dan kita perlu kepada tranformasi keahlian itu sendiri.” Tranformasi keahlian itu menurut Khairi ialah perubahan sikap.

Bagi Khairi, bilangan perwakilan yang ramai sahaja tidak mampu membunuh amalan rasuah. Pembunuh rasuah ialah perubahan sikap.

Kenyataan Khairi itu menggambarkan Khairi faham dan masak dengan budaya Umno. Dia yang menang jawatan Ketua Pemuda Umno dan disifatkan oleh Mahathir menang dengan rasuah seperti sudah boleh menghidu ruang mana yang boleh digunakan oleh calon untuk meneruskan kerja-kerja rasuah.

Katakan perwakilan berjumlah 146,000 orang. Dan, katakan kerusi MT Umno yang perwakilan perlu pilih ialah 25 orang, sementara calon yang bertanding merebut jawatan itu adalah 50 orang, maka 50 orang calon itu tidak perlu merasuah 146,000 orang. Dia hanya perlu merasuah sekadar bilangan yang mencukupkannya untuk menang salah satu kerusi itu sahaja.

Dalam situasi ini, saya fikir seseorang calon perlu merasuah sekadar 6,000 atau 7,000 orang perwakilan sahaja, dia tentu boleh menang. Kalau setiap seorang dirasuahnya RM10,000, dia hanya perlu menyediakan RM70 juta sahaja. Alah, RM70 juta kecil sahaja bagi mereka yang inginkan jawatan tinggi dalam hierarki Umno.

Kerana ada pemimpin Umno yang sanggup berhabisan sampai RM100 juta untuk menang jawatan-jawatan yang dipertandingkan. Dengan RM10,000 itu, bukan sekadar mulut sahaja yang akan diam malah mata pun boleh tertutup.
Saya fikir, penerima rasuah akan rela dengan amaun rasuah yang kecil daripada tidak mendapat langsung.

Sebab itu Khairi kata perubahan yang perlu adalah perubahan sikap. Persoalannya ialah bolehkah mereka yang berada di dalam Umno sekarang berubah sikap? Bolehkah nawaitu menyertai Umno dengan tujuan mengintai peluang mengisi kantong mampu mengubah sikap? Paling penting, bolehkah Khairi berubah sikap untuk terus kekal di jawatannya sekarang bagi menghadapi pemilihan akan datang?

Entahlah, saya tidak tahu sebab saya bukan orang Umno. Saya pun tidak mengambil berat sangat dengan apa yang Najib bakal buat terhadap Umno.

Namun, saya cuba untuk melihat melalui kaca mata saya sendiri dan berfikir dengan akal saya sendiri, bukan kaca mata orang lain dan akal orang lain. Bagi saya, usaha Najib menyelamatkan Umno sama seperti usaha kapten kapal menyelamatkan Titanic daripada karam dalam filem itu.

Kapal Umno bocor teruk setelah melanggar bongkah ais rasuah. Parti itu membilang hari untuk karam.

Tiada ulasan: