Senarai Blog Saya

JOM FOLLOW | ...:::: BGM online ::::....

Rabu, 14 Oktober 2009

Badrul sudah beri persetujuan: MB SELANGOR

demokrasi93.blogspot.com
SHAH ALAM – Perbincangan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah bagi menentukan status wakil rakyat itu ditangguhkan sekali lagi sehingga akhir bulan ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Kerajaan Negeri sedang membuat persediaan bagi mengadakan perbincangan berkenaan dan merancang beberapa tindakan untuk mengatasi masalah di DUN berkenaan.

“Saya belum berjumpa dengan beliau (Badrul Hisham) lagi tetapi perbincangan akan diadakan pada akhir Oktober ini.

“Kita telah mula merancang perjumpaan berkenaan dan beberapa langkah untuk mengatasi masalah yang berlaku di DUN Pelabuhan Klang,” katanya kepada wartawan selepas Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2009 di sini, semalam.

Bagaimanapun, keputusan mengenai tarikh perbincangan berkenaan adalah kali ketiga ditangguhkan selepas Abdul Khalid mengarahkan Badrul Hisham mengemukakan surat tunjuk sebab mengenai kegagalannya melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat di kawasan itu pada akhir Ogos lalu.

Manakala 2 September lalu, Abdul Khalid memberitahu sebarang keputusan berhubung status Badrul Hisham akan ditentukan dalam perbincangan selepas Hari Raya bersama Speaker, Teng Chang Kim dan Badrul Hisham sendiri.

Sementara itu, Abdul Khalid yang juga Pengerusi Perhubungan PKR negeri menjelaskan bahawa desakan supaya Badrul Hisham meletakkan jawatannya adalah daripada rakyat di kawasan Pelabuhan Klang yang tidak berpuas hati terhadap wakil rakyat mereka.

“Desakan daripada Exco dan pejabat Menteri Besar supaya beliau meletakkan jawatan tidak begitu ketara.

“Bagaimanapun, pihak yang memberi tekanan adalah rakyat di kawasan Pelabuhan Klang yang rasa terpedaya apabila memilih wakil rakyat yang tidak membawa sebarang perubahan kepada mereka,” katanya.

Selain itu beliau berkata, Badrul Hisham menyatakan kesediaannya untuk menghadiri perbincangan berkenaan dan menyelesaikan kemelut berhubung statusnya sebagai wakil rakyat.

“Beliau memberikan respons yang positif dan bersedia mengadakan perbincangan berkenaan.

“Tetapi perbincangan sahaja tidak mencukupi, beliau perlu memainkan tanggungjawab dan tunjukkan kepada rakyat peranan yang dimainkan beliau,” katanya.

Tiada ulasan: