Senarai Blog Saya

JOM FOLLOW | ...:::: BGM online ::::....

Ahad, 11 Oktober 2009

Isu lompat parti hanya gimik UMNO


demokrasi93.blogspot.com


SHAH ALAM – Tindakan seramai 40 ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang keluar daripada parti itu untuk menyertai UMNO disifatkan sebagai gimik politik yang sengaja dilakukan oleh UMNO.

Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Selangor, Yaakob Sapari berkata, terdapat ahli-ahli UMNO yang menyertai PKR selepas memenangi pilihan raya yang lalu dengan harapan akan mendapat habuan.

Menurutnya, apabila tidak mendapat habuan seperti yang diharapkan, mereka memilih untuk keluar parti dan kembali menyertai UMNO.

“Ini gimik UMNO sahaja sebab perjuangan sebenar PKR adalah untuk rakyat dan saya kenal siapa yang benar-benar berjuang untuk membela rakyat.

“Ketika kita menang memang ada orang UMNO yang ikut kita, dia mengharapkan akan mendapat habuan apabila masuk parti namun kita menjelaskan bahawa dalam parti ini, bukan habuan yang diperjuangkan, akhirnya mereka ingin balik kembali kepada UMNO,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka DUN Kota Anggerik/Parlimen Shah Alam yang diadakan di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kota Anggerik, di sini, semalam.

Yaakob yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik berkata, individu yang menyertai PKR untuk mendapatkan habuan sebenarnya tidak memberikan apa-apa sumbangan kepada parti.

“Selama berada dalam parti, saya tidak pasti sama ada keahlian diterima atau belum, tidak ada kefahaman mengenai parti dan falsafah parti.

“Bagi saya, orang seperti ini kalau keluar pun tidak mengapa kerana mereka tidak memberikan apa-apa sumbangan kepada parti,” katanya.

Menurutnya, isu lompat parti hanyalah gimik UMNO yang dicetuskan setiap kali menjelang pilihan raya kecil.

“Saya kenal ahli parti dan siapa yang benar-benar berjuang untuk parti. Selepas kita menang, ramai yang mengintai kita bahkan kita juga menjelaskan kepada mereka mengenai perjuangan parti agar mereka faham apakah perjuangan kita.

“Jika dikira pimpinan UMNO yang menyertai Keadilan lagi ramai, antaranya Datuk Chua Jui Meng, Datuk SS Subramaniam dan Datuk Zaid Ibrahim, yang pernah menjadi orang kuat di kementerian dan kerajaan. Jadi, saya masih yakin bahawa PKR masih kuat dan diterima rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Yaakob turut mengingatkan bahawa individu yang menyertai PKR dengan harapan untuk mendapatkan habuan, seharusnya melupakan niat itu.

“Orang Melayu akan mengikut siapa yang berkuasa dan apabila kami berkuasa, maka ramailah orang UMNO yang ikut kami.

“Tetapi apabila mereka masuk parti, mereka dapati bahawa budaya kami tidak sama dengan budaya yang dibawa oleh UMNO. Jadi, sesiapa yang masuk parti ini kerana ingin mengambil kesempatan, lupakan niat itu,” katanya.

Sementara itu, pada majlis yang sama, Yaakob menerima 250 borang keahlian daripada penggerakan belia Seksyen 9, Shah Alam.

“Budaya kami, memberi ruang kepada mereka (belia) untuk menyatakan perasaan mereka. Ini budaya baru dalam politik.

“Kita tengok pada hari ini, gerakan belia datang dan menyerahkan borang kepada kita dan ini menunjukkan ramai belia yang mahu bersama dengan kita,” katanya yang memberitahu bahawa keahlian PKR semakin meningkat dan kini di Shah Alam sahaja mempunyai lebih 5,000 ahli.

Tiada ulasan: