PADANG: Seorang mangsa gempa yang masih lagi terperangkap di dalam runtuhan bangunan sebuah hotel di barat Indonesia di sini telah menghantar SMS yang mengatakan bahawa beliau dan beberapa orang lagi masih hidup.
Pesanan itu menyebabkan pasukan mencari dan menyelamat bertungkus-lumus mencari mangsa, tetapi peluang untuk mencari mangsa yang masih hidup adalah tipis hari ini memandangkan anjing penyelamat tidak dapat mengesan apa-apa tanda terdapat orang yang masih hidup.
Ketua Polis Padang Kolonel Boy Rafli Amar berkata, mereka telah mendengar suara orang meminta tolong dan menepuk tangan di bawah timbunan runtuhan Hotel Ambacang.
Gempa bumi yang berlaku pada Rabu lepas itu telah membunuh sekurang-kurangnya 715 orang.
Menurut beliau, salah seorang mangsa yang tinggal di bilik 388 di hotel berkenaan telah menghantar SMS kepada saudara-maranya.
“Terdapat lebih kurang lapan orang yang dipercayai masih hidup di bawah runtuhan itu. Kami berusaha selama enam jam dari pagi tadi untuk menyelamatkan mereka tetapi kami belum menemui apa-apa,” ujar Boy Rafli kepada pemberita di sini.
Pasukan mencari dan penyelamat tengah menggunakan cangkul dan gerudi untuk memecah masuk tembok bangunan hotel setinggi enam tingkat itu.
Ketua bagi pasukan bersama anjing pengesan Jepun, Hidehiro Murase berkata usaha mereka sejak pagi tadi tidak memunjukkan apa-apa hasil.
Enam anggota pasukan penyelamat dari Switzerland telah cuba memasuki timbunan runtuhan itu namun keluar beberapa minit kemudian.
“Walaupun saya tidak menemui apa-apa, saya dapat menghidu bau mayat reput yang kuat,” kata salah seorang anggota, Villa Stefano.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan