| Sejumlah 92.15 peratus daripada 1,846 responden memilih supaya dibubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak manakala 3.74 peratus menolak dan 4.12 peratus berkecuali melalui satu kempen Mengumpul Suara dan Pendapat Rakyat Tentang Krisis Politik Perak.
Pengerusi Gabungan NGO-NGO Perak, Ir Megat Sharifuddin Ibrahim berkata, kempen terbabit merupakan fasa pertama di mana ia telah dilancarkan pada 9 Ogos yang lalu dan berakhir pada 23 September.
Katanya, berdasarkan kepada keputusan kajian yang dijalankan, kebanyakan responden yang ditemui berpendapat DUN Perak wajar dibubarkan bagi menyelesaikan krisis politik terbabit.
“Kita telah edarkan poskad kepada kalangan NGO yang ingin menyertai kempen ini malah kita turut mengambil pendapat daripada rakyat jelata bagi mendapatkan pandangan mereka sendiri berhubung isu tersebut.
“Pihak kami telah menjalankan kajian di tempat tumpuan orang ramai seperti di Pasar Jelapang, Masjid Negeri Perak, Pasar Kamunting dan pekan Changkat Jering bagi fasa pertama program terbabit,” katanya kepada Sinar Harian.
Gabungan NGO-NGO Perak merupakan sebuah gabungan yang telah berjaya mengumpulkan hampir 50 NGO di negeri Perak yang terdiri dari pelbagai kaum seperti Melayu, Cina dan India dan juga dari pelbagai agama dan jenis aktivisme.
Objektif utama gabungan ini diwujudkan ialah untuk memperkasakan suara rakyat terutama sekali dari kalangan ahli NGO-NGO supaya dapat menjadi pemangkin ke arah kebaikan dan kesejahteraan kepada semua rakyat negeri Perak tanpa mengira apa jua latar belakang.
Megat Sharifuddin berkata, kempen tersebut telah digerakkan dan dijalankan tanpa ada pengaruh dari mana-mana pihak termasuklah parti-parti politik dan ia lebih kepada untuk mengangkat suara dan pendapat rakyat.
“Suara rakyat terutama sekali dari kalangan pelbagai kaum dan agama yang komited dengan aktivisme NGO masing-masing sangat mustahak didengari oleh semua lapisan masyarakat terutama sekali pemimpin-pemimpin politik dalam usaha untuk mencari jalan penyelesaian kepada krisis politik di negeri Perak yang tercinta ini.
“Berdasarkan kepada kajian ini, kami mendapati majoriti daripada mereka mahukan supaya DUN Perak dibubarkan bagi mengatasi krisis politik negeri Perak dan oleh itu kami sangat berharap pihak pemerintah serta semua yang terlibat termasuklah parti-parti politik memberi perhatian yang sewajar kepada suara rakyat ini,” katanya.
Katanya, kegagalan untuk memberi perhatian serius kepada suara rakyat ini boleh mengakibatkan suasana gelisah, perasaan tidak-tenteram dan ketidakpuasan hati akan terus berpanjangan terutama sekali di kalangan rakyat negeri Perak.
Ini sudah tentu akan menyukarkan lagi urus-tadbir sebuah negeri, membantut urusan ekonomi negeri dan seterusnya mungkin juga akan menggugat kesejahteraan dan kemakmuran negeri Perak yang tercinta. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan