RM10 juta untuk bencana alam
SHAH ALAM – Kerajaan negeri menyediakan peruntukan RM10 juta untuk bantuan bencana alam di negeri ini.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Kerajaan Negeri sentiasa bersedia dan peka dengan tanggungjawab untuk membantu mereka yang menderita akibat bencana alam yang dialami.
Katanya, Kerajaan Negeri juga sentiasa bersedia untuk menghulurkan bantuan kepada rakyat di negeri ini terutamanya sebagai persediaan menghadapi musim hujan nanti.
“Kita telah kenal pasti tempat-tempat yang akan berhadapan dengan bencana seperti banjir, itu kita akan lakukan dan kita akan mengadakan perjumpaan dengan pegawai daerah yang menjadi pengerusi bencana dan mengingatkan mereka tentang beberapa perkara untuk persediaan bagi menghadapi keadaan tersebut,” katanya kepada media semalam.
Dalam perkembangan yang sama, Khalid berkata, Kerajaan Negeri melalui Misi Kemanusiaan Selangor akan menyumbangkan RM500,000 sebagai bantuan bencana alam kepada mangsa di Padang, Indonesia.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri melalui NGO seperti Yayasan Amal dan beberapa NGO yang lain akan bersedia dan terus membawa beberapa pertolongan kepada masyarakat di sana secepat mungkin.
“Ini adalah satu tanggungjawab sosial kita. Dan kita merasakan bencana alam yang dihadapi masyarakat di Padang itu telah membawa satu akibat yang sangat buruk dan memerlukan pertolongan yang cepat.
“Kita juga berharap ada para doktor, jurutera yang akan sama-sama menyertai misi kita. Kita terbuka menerimanya. Dan kita akan membiayai mereka dari segi kos perjalanan dan penempatan sekadarnya bagi memberi mereka peluang untuk berbakti kepada masyarakat yang dalam keadaan yang begitu sukar di sana,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi, dan Kebudayaan, Rodziah Ismail berkata, keputusan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) yang meluluskan peruntukan RM500,000 untuk bantuan kemanusiaan di Padang itu merupakan salah satu program Kerajaan Negeri yang membuktikan sikap keprihatinannya.
Menurut beliau, misi ini akan menghantar pasukan khas bagi membantu mengeluarkan mayat selain bekerjasama dengan NGO yang akan menyediakan beberapa alat bantuan yang akan dibawa ke sana.
“InsyaAllah kita akan menghantar bantuan minggu hadapan. Kita akan beri bantuan dari sudut perubatan dan juga apa yang boleh kita laksanakan di situ sama seperti yang kita buat di tempat-tempat lain.
“Tetapi pada kali ini, misi ini terdiri daripada anak-anak muda dan beberapa individu yang kita telah kenal pasti dan bentuk atas nama Misi Kemanusiaan Selangor,” katanya ketika ditemui ketika hadir pa�da Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor, di sini, semalam.
Katanya, pasukan ini juga akan bergerak ke kawasan yang ditimpa bencana di negeri ini untuk memberikan bantuan seberapa segera.
Sehingga kini, 25 anggota dikenal pasti dan pasukan tersebut akan ke sana bersama NGO lain, Yayasan Amal dan Bulan Sabit Merah untuk memberi sokongan.
Rabu lalu, gempa berukuran 7.6 pada skala Richter telah melanda pesisir pantai bandar Padang di barat Sumatera.
Gempa tersebut dikatakan terletak di kawasan sama yang menyebabkan tsunami di Laut Hindi pada 2004.
Sehingga semalam seramai 529 maut dan ribuan lagi dikatakan masih terperangkap dalam runtuhan bangunan tinggi.
Sementara itu, Kerajaan Negeri juga turut bersetuju menyumbangkan RM50,000 kepada Kumpulan Sokongan Penan di Sarawak kerana selain isu wanita, terdapat juga satu krisis di mana perusahaan perladangan mereka tidak menjadi dan situasi menyebabkan mereka menghadapi masalah kebuluran dan usaha tersebut dilakukan sebagai bantuan makanan.
Pengumuman calon Pas untuk P067 Kuala Kangsar
-
Calon bagi Parti Islam SeMalaysia (PAS) untuk pilihanraya kecil P067 Kuala
Kangsar akan diumumkan malam esok, 27 Mei 2016 pada jam 9.00 malam
bertempat d...
8 tahun yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan