demokrasi93.blogspot.com
WASHINGTON- Ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Amerika Syarikat (AS) melihat kejayaan dan kemajuan orang Islam dalam berurusan dengan dunia Islam.
Beliau berkata, pegawai-pegawai AS perlu menonjolkan aspek-aspek positif yang terdapat dalam dunia Islam seperti kemajuan yang berlaku di Indonesia dan Turki.
Anwar juga meminta negara-negara Islam menggerakkan pembaharuan sebagai tindak balas terhadap ucapan Presiden Barack Obama pada 4 Jun lalu di Kaherah, yang menghulurkan salam persahabatan kepada dunia Islam.
"Pembaharuan dan demokrasi adalah penting kepada dunia Islam," kata Anwar, seperti dilaporkan agensi berita AFP dalam ucapannya di Institut Brookings, Washington.
Beliau turut menegur dunia Barat kerana tidak mempedulikan kutukan golongan ulama terhadap pengeboman di Jakarta pada Julai lalu.
Menurutnya, Barat juga perlu berhati-hati dalam memberikan gelaran seperti fundamentalis dan radikal kepada orang Islam.
"Saya bersolat, puasa dan tidak mengambil minuman keras. Adakah ini bermakna saya seorang fundamentalis? Saya tidak tahu," katanya.
Anwar menjelaskan, liputan media yang memberi tumpuan kepada tindakan golongan radikal hanya akan menggalakkan perbuatan mereka.
Sehubungan itu, beliau menyarankan supaya golongan ini dibenarkan bersuara dengan memberikan mereka pendidikan dan saluran media.
Beliau mencadangkan AS melabur dalam latihan guru-guru matematik, bahasa Inggeris dan komputer sains dalam usaha mengatasi pengaruh golongan radikal di negara-negara seperti Pakistan.
sinarharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan