Senarai Blog Saya

JOM FOLLOW | ...:::: BGM online ::::....

Rabu, 28 Oktober 2009

Dewan tolak usul bahas tragedi jambatan gantung runtuh

demokrasi93.blogspot.com





KUALA LUMPUR - Dewan Rakyat hari ini menolak usul bagi membincangkan tragedi jambatan gantung runtuh di Pusat Kokurikulum Daerah di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Dipang, Perak kelmarin yang dibawa oleh Dr Lee Boon Chye (PKR-Gopeng).

Timbalan Speaker Datuk Ronald Kiandee berkata usul berkenaan ditolak kerana berdasarkan peraturan, sebarang isu yang telah ditolak di dalam kamar tidak akan dibaca semula di dalam Dewan.

Menurut Ronald lagi, perkara tersebut telah diambil perhatian oleh pihak yang berkaitan termasuk pengumuman oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat kejadian yang meragut satu nyawa, manakala dua lagi pelajar masih hilang.

"Saya ingin maklumkan bahawa perkara-perkara yang ditolak dalam kamar tidak akan dibacakan lagi. Itu adalah satu keputusan yang diambil oleh Speaker dan keputusan untuk kes ini ia telah ditolak di dalam kamar.

"Kita terikat dengan peraturan bahawa ia tidak akan dibaca dalam dewan. Saya tidak akan ulang lagi dan saya harap tiada lagi perbincangan lanjut mengenai perkara ini," katanya.

Bagaimanapun, Ronald berkata usul itu masih boleh dimasukkan sebagai isu untuk dibahaskan di dalam sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2010 yang sedang berlangsung.

Seorang murid sekolah rendah lemas manakala dua lagi masih hilang apabila jambatan gantung yang mereka gunakan untuk menyeberang Sungai Kampar di Sekolah Kebangsaan Kuala Dipang, Kampar runtuh pada kira-kira pukul 10.30 pagi. - Bernama

Tiada ulasan: