demokrasi93.blogspot.com
Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Kamarudin Jaffar pada 20 Oktober lalu mengemukakan Usul tergempar bagi membincangkan Isu mengenai Royalti Petroleum yang sepatutnya dibayar oleh Petronas kepada Kerajaan Kelantan.
Bagaimanapun Usul tersebut ditolak dalam Kamar oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia.
Teks Usul adalah seperti berikut:
USUL MENANGGUHKAN MESYUARAT DI BAWAH PERATURAN MESYUARAT PERKARA 18 (1)
Usul di bawah Peraturan Majlis Mesyuarat 18(1) dan (2). Dengan ini diberi notis bahawa saya akan mengusulkan supaya mesyuarat ini ditangguhkan untuk membincangkan usul yang melibatkan perkara tertentu, berkepentingan ramai dan perlu disegerakan.
Saya, Dato’ Kamarudin Jaffar, Ahli Dewan Rakyat bagi Kawasan Tumpat mohon mencadangkan :
“Bahawa Majlis ini hendaklah ditangguhkan mengikut Perkara 18 Peraturan-peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat bagi membolehkan dewan yang mulia ini merundingkan bayaran royalti petroleum kepada kerajaan Kelantan.
Isu ini adalah perkara tertentu kerana pembayaran tersebut gagal dilaksanakan walaupun telah termaktub perjanjian antara kerajaan negeri Kelantan dan Petronas pada 1975.
Pembayaran royalti tersebut terus diabaikan sedangkan pengeluaran petroleum dari perairan Kelantan telah bermula sejak 2005. Berbanding dengan Sabah yang kini menerima royalti yang menjadi haknya, sumbangan Kelantan kepada pengeluaran petroleum seluruh negara bagi tahun 2005 hingga 2008 adalah lebih tinggi daripada pengeluaran negeri Sabah, berasaskan data daripada Jabatan Perangkaan yang diedarkan Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri.
Di bawah prinsip dan semangat persekutuan, Petronas wajib melaksanakan kehendak perjanjian berkenaan yang mengkehendaki bayaran tunai dilunaskan sebanyak dua kali setiap tahun.
Tuan Yang DiPertua,
Perkara ini adalah melibatkan kepentingan ramai kerana rakyat Kelantan terus menanggung kerugian akibat pengabaian pembayaran royalti tersebut.
Perkara ini juga melibatkan kepentingan ramai pengabaian tersebut melambatkan perkembangan ekonomi negeri Kelantan yang sudah tentu merencatkan pertumbuhan ekonomi negara kerana negeri Kelantan dengan rakyatnya yang begitu ramai adalah bahagian yang sangat integral dalam menentukan pertumbuhan ekonomi negara.
Perkara ini perlu disegerakan kerana rakyat Kelantan telah dinafikan hak mereka selama empat tahun sejak tahun 2005 lalu tanpa sebab yang munasabah melainkan tindakan yang dilihat sengaja mengabaikan hak mereka.
Perkara ini perlu disegerakan kerana pengabaian hak rakyat Kelantan dalam masa yang begitu lama adalah bertentang dengan prinsip keadilan ketika kerajaan pusat begitu sibuk dengan dakwaan semangat 1Malaysia.
Perkara ini juga perlu disegerakan demi menjunjung titah Pemangku Raja Kelantan seperti yang dititahkannya ketika menyempurnakan Majlis Pembukaan Rasmi Persidangan Ketiga (Belanjawan) Bagi Tempoh Penggal Kedua Dewan Negeri Kelantan Ke-12 di Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Bharu Selasa lalu.
Maka saya berpandangan bahawa usul ini melibatkan perkara tertentu, perlu disegerakan dan berkepentingan ramai.
Sekian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan