Senarai Blog Saya

JOM FOLLOW | ...:::: BGM online ::::....

Selasa, 17 November 2009

“Tahun depan saya terima tajaan”




KOTA BHARU - Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, beliau akan terima tawaran mereka yang berhajat membiayai perbelanjaannya menunaikan haji tahun depan.

Beliau, yang juga Mursyidul Am Pas berkata, sama ada ditaja atau tidak beliau mahu menunaikan ibadat haji pada musim akan datang, setelah tahun ini membatalkan hasratnya menunaikan haji.

"Tahun depan, insya-Allah, siapa nak taja boleh taja. Tak taja pun saya pergi juga," katanya

Beliau berucap di hadapan lebih 10,000 orang di majlis sambutan 19 tahun pemerintahan Pas di Kelantan di Pusat Tarbiah Islam Kelantan (Putik) di sini malam kelmarin.

Solat hajat juga didirikan di situ.

Turut hadir, Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Nik Aziz membatalkan hasratnya ke Tanah Suci tahun ini berikutan laporan media bahawa pemergiannya itu akan ditaja pihak tertentu, dengan bayaran RM65,000 seorang.

Selasa lalu, media melaporkan pengakuan Nik Abdul Aziz bahawa beliau ditaja pihak tertentu untuk menunaikan haji dengan kos RM65,000 dan mendapat layanan bertaraf 'VVIP'.

Ekoran kenyataan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan berhubung perkara itu. Disebabkan timbul pelbagai polemik, Nik Abdul Aziz membatalkan hasratnya berlepas ke Mekah pada 18 November ini.

Kelmarin, Pemuda UMNO Kelantan menyerahkan memorandum kepada SPRM mendesak siasatan dijalankan dan meminta Nik Aziz meletak jawatan sebagai Menteri Besar.

Sementara itu, Pesuruhjaya Pas II Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, Menteri Besar Kelantan membatalkan hasratnya untuk menunaikan haji berikutan isu tajaan hajinya dipolitikkan.

Tiada ulasan: