Senarai Blog Saya
-
Kutipan Dana PRK P067 Kuala Kangsar
-
Bersempena dengan pilihanraya kecil P067 Parlimen Kuala Kangsar yang akan
berlangsung pada 5 Jun akan datang, sudilah kiranya tuan-puan dan puan-puan
sek...
8 tahun yang lalu
BACA: Penjual bubur ditangkap tidak miliki sijil halal?
- DR AISAR YEE ABDULLAHPentadbiran agama Islam menerima tamparan buruk berikutan tindakan tidak profesional diambil Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sewaktu berusaha menangkap bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin kerana dituduh mengajar tanpa memiliki tauliah. Lagi pelik apabila Pengarah Jais, Mohamed Khusrin menjelaskan bahawa tangkapan tidak dibuat secara semberono atau ia dibuat mengikut telunjuk mana-mana pihak. Katanya, tindakan itu diambil selepas Asri berulang kali melanggar peraturan berkaitan aktiviti memberi ceramah di Selangor. Menurutnya, Asri kerap kali memberi kuliah agama tanpa tauliah termasuk di Hulu Klang yang dibuat hampir setiap bulan begitu juga di Masjid Seksyen 14, Petaling Jaya. “Ini bermakna beliau tidak menghormati peraturan yang telah ditetapkan di negeri ini,” katanya. Pelik ialah kerana Mohamed Khusrin mendakwa penahanan terhadap Asri pada malam itu dibuat selepas mesyuarat Jais dengan Majlis Agama Islam Selangor (Mais). Ertinya, penahanan itu dirancang dan bukannya seperti tangkapan biasa Jais berkaitan kes khalwat di mana serbuan dilakukan sebaik menerima maklumat. Dalam kes tangkapan Asri ini, perbincangan sudah dibuat sesama Jais dan di antara Jais dan Mais. Mais semestinya berpuas hati dengan fakta kes yang diberikan Jais sebelum bersetuju dengan tindakan itu. Ertinya, Jais sudah memiliki fakta yang kukuh. Sebab itulah Mais tidak membantah. Kalaulah begitu faktanya, tentunya apa yang terjadi pada pagi Isnin awal minggu ini di Mahkamah Syariah Gombak Timur tidak berlaku. Tuduhan sudah dapat dibuat ke atas orang yang ditangkap. Sudah banyak kali dia melakukan kesalahan dan kesalahan kali ini ada ulangan sahaja. Fakta lampau sudah cukup untuk mendakwa beliau. Kenapa tidak dibentang itu masa tersebut? Ada niat lain terselindung? Kalau ada apa niatnya? Memalukan Asri? Asri sendiri yakin beliau adalah mangsa satu konspirasi yang didalangi oleh mereka yang tidak bersetuju dengan pandangan-pandangannya. “Saya ditangkap sungguhpun Jais sedang menyiasat dan memikir-mikir tuduhan.” “Saya ditangkap dan dilayan seperti ketua satu ajaran sesat. Kenapa? Mungkinkah ini konspirasi Jais atau Jais diperalatkan oleh konspirator. Saya tidak mahu menuduh tetapi saya yakin ia adalah satu konspirasi” kata Asri. Kita hanya boleh menduga berdasarkan ‘circumstantial evidence’. Mari kita buat kiraan hisab, satu campur satu berapa jumlahnya? Pada malam Asri ditangkap di sebuah rumah milik seorang tokoh perniagaan di Taman Sri Ukay, turut berada di rumah itu mendengar kuliah beliau ialah dua orang tokoh politik, seorang MP dari PKR dan seorang ADUN dari Pas. Kedua-dua tokoh ini sentiasa hadir di rumah itu setiap kali Asri mengadakan kuliahnya, biasanya sebulan sekali. Beliau adalah tokoh yang cuba berunding dengan Jais dan polis untuk tidak melakukan tangkapan terhadap Asri. Mereka mengaku sanggup membawa Asri ke mana-mana esoknya, sama ada ke pejabat Jais atau polis bagi mengelakkan tangkapan pada malam itu. Usaha mereka gagal. Jais dan polis berkeras mahu menangkap Asri pada malam itu juga. Bagi mengelak dituduh melawan, Asri bersetuju dengan kehendak Jais. Kehadiran dua orang tokoh Pakatan Rakyat ini pada malam itu dan keesokannya, serta kehadiran MP Lo’Lo’ yang bergegas ke Mahkamah sejurus selesai menjalani rawatan di IJN boleh membuat seseorang merumus bahawa ini bukan konspirasi PR. Kehadiran Yusmadi Yusoff peguam dan MP PKR untuk membantu membela Asri memperteguhkan keyakinan ramai. Kalau bukan PKR dan Pas, siapa? UMNO? Berita tentang lawatan Harun Taib ke rumah Asri di Mengkuang, Bukit Mertajam baru-baru ini dan pelawaan kepada beliau untuk memasuki Pas mungkin membimbangkan UMNO. Imej Asri perlu dicalarkan melalui tangkapan akan bermain-main di kepala mereka yang mahu menggagalkan kemasukan Asri ke dalam Pas. Maka terencanalah konspirasi ini, yakin mereka. Ramai tidak tahu bahawa sebenarnya Jais tidak terletak sepenuhnya di bawah kuasa Exco Hal Ehwal Agama Islam, Hasan Ali. Jais adalah sebuah jabatan di bawah Mais. Pengarahnya ialah Mohamed Khusrin, seorang pegawai tadbir dari Perkhidmatan Awam Malaysia di bawah kelolaan Kerajaan Pusat. Hasan tidak berkuasa melantik orang mengisi jawatan ini. Khusrin pernah menjadi Setiausaha Sulit kepada Menteri Besar Selangor, Muhammad Mohd Taib. Berdasarkan kenyataan Jais sendiri, Jais sudah pun membincangkan isu penangkapan Asri ini dengan Mais. Di dalam Mais, Khusrin berjawatan sebagai Setiausaha. Mereka yang berkhidmat dengan Kerajaan Persekutuan dan ditugaskan di Selangor yang menganggotai Mais ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Ramli Mahmud, Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor, Zauyah Be Bin Loth Khan, Pegawai Kewangan Negeri Selangor, Mohd Arif, Ketua Polis Negeri Selangor, Khalid Abu Bakar. Beberapa orang yang lain ialah lantikan dibuat oleh Sultan Selangor terdiri dari mereka yang juga menganggotai Ahli Dewan Diraja Selangor dan pensyarah beberapa universiti di Selangor. Mais yang dipengerusikan oleh Datuk Adzib ini juga anggotai oleh Mufti Selangor dan Hasan Ali. Hasan bertindak sebagai Timbalan Pengerusi. Tidak ada lantikan lain yang terdiri dari orang politik Pas atau PKR dalam Mais. Adanya beberapa orang yang berkhidmat di dengan Kerajaan Pusat yang bertugas di Selangor menganggotai Mais menyebabkan orang mudah membuat andaian yang ada di antara tokoh-tokoh tadi yang bertindak mengikut kehendak UMNO/BN atau Kerajaan Pusat. Hasan hanya bertindak sebagai Timbalan Pengerusi. Beliau sebenarnya kehilangan kuku dalam Mais ini. Sebelum ini ada arahan dititahkan oleh Sultan Selangor seperti diumumkan oleh Adzib bahawa apa-apa kenyataan umum berkaitan dengan pelaksanaan dan pentadbiran Islam di Selangor hanya boleh dibuat melalui Mais. Katanya lagi, di Selangor hanya lima badan kerajaan yang mempunyai kuasa ke atas perjalanan hal-ehwal agama yakni Tuanku Sultan, Mais, Jais, Mahkamah Syariah dan pejabat Mufti. Nama Exco agama tidak langsung dicatat dalam senarai mereka yang diiktiraf menjaga hal ehwal agama Islam di Selangor. Adakah ini bermakna Hasan tidak lagi mempunyai hak membuat kenyataan berkaitan dengan perjalanan agama Islam di Selangor? Adanya persepsi bahawa Jais dan Mais terletak di luar bidang kuasa Exco Pas dan ia lebih terpengaruh dengan jari telunjuk Kerajaan Pusat, orang boleh menganggap para konspirator ini terdiri dari kalangan bukan PR. Apalagi keesokannya, Jakim tumpang semangkuk mempertikaikan ijazah Asri. Tentu ada orang yang mempertikaikan bahawa sebagai seorang profesional, kalangan pegawai kerajaan akan memberikan taat setia kepada kerajaan negeri yang ada pada masa itu. Ini separuh benar. Ramai tahu bahawa kedudukan Kerajaan Negeri Selangor selepas kejatuhan Kerajaan Perak sudah tidak mantap lagi. Ia boleh digulingkan. Ada sebahagian pegawai kerajaan mungkin berasa adalah lebih selamat untuk berlindung di pokok yang lebih kukuh. Ingatan masih segar kepada kejadian berlaku di Perak pada minggu terakhir April tahun lepas. Apabila kerajaan PR memerintah negeri itu bermula sebulan sebelum itu, mereka mendapati tidak dapat bekerjasama dengan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, Jamry Sury. Jamry Sury dipecat tetapi pemecatan itu tidak berkuat kuasa kerana tidak mendapat perkenan Sultan dan Jabatan Perkhidmatan Awam mahukan dia tetap di sana. Pastinya, ada sebilangan mereka yang bertugas dengan Kerajaan Negeri tetapi jawatan itu dilantik oleh pusat memberikan taat setia kepada Kerajaan Pusat kerana majikan mereka sebenarnya adalah Kerajaan Pusat. Maka timbullah teori bahawa konspirasi ini dicetuskan oleh mereka dalam Kerajaan Pusat. Teori ini kelihatan bertambah kukuh dengan adanya satu tuduhan untuk lebih memperlekehkan Asri datangnya dari Jakim, sebuah badan di bawah Jabatan Perdana Menteri. Hakikatnya, saya berani mempertaruhkan ‘kepala’ bahawa tidak ada sesiapa dalam Jais, Mais atau Jakim yang merangka konspirasi ini. Mungkin ada hanyalah individu-individu tertentu di luar badan itu yang memperalatkan mana-mana badan tersebut untuk kepentingan peribadi mereka, Saya juga berani mempertaruhkan kepala saya bahawa tidak juga konspirasi ini datangnya dari kalangan PR, baik Pas mahupun PKR apa lgi DAP. Mereka semuanya bersih dari sebarang sangkaan buruk. Pada peringkat awal, saya yakin ramai percaya bahawa konspirator itu datangnya dari kalangan UMNO/BN. Barangkali, atas sebab itulah Jamil Khir, menteri bertanggungjawab hal ehwal agama, meluru mendapatkan wartawan sebaik turun kereta di Hotel Putra pada tengah hari Isnin kelmarin memberitahu bahawa hal berkaitan agama adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri. Keyakinan saya itu berdasarkan kenyataan Najib yang amat tepat bahawa dia terkejut dengan penangkapan dibuat oleh Jais kerana Asri mempunyai kelayakan mencukupi memberi kuliah dan apa yang dinyatakan oleh Asri itu mengikut Najib sentiasa berlandaskan nas yang kuat. Kepentingan mendapatkan kuliah untuk mengajar agama tidak dinafikan perlu. Kelayakan mereka hendaklah dipastikan. Cuma, apakah perlu seorang yang memiliki ijazah PhD dalam bidang al-Quran dan Hadis itu diwajibkan lagi mendapatkan tauliah. Malah, sesiapa sahaja yang memiliki ijazah pertama sepatutnya dikecualikan mendapat tauliah. Ini seumpama keperluan mendapatkan sijil ‘Halal’ bagi peniaga makanan. Jika orang bukan Islam ingin menjual makanan Islam, dia perlu mendapatkan sijil itu. Meminta seorang makcik Melayu beragama Islam yang ke masjid hari-hari melakukan ibadah solat lima waktu mendapatkan sijil halal untuk perniagaan bubur kacangnya, adalah satu perbuatan yang kurang cerdik. Apa pun, siasatlah tangan mana yang merancang konspirasi itu kerana bukan Mais, bukan Jakim, bukan Pas, bukan UMNO yang terlibat. Bukan, Bukan Bukan. Siasatlah siapa yang memperalatkan Jais melakukan tangkapan itu. Sambil itu kajilah balik dasar yang seakan-akan mahukan penjual bubur kacang ini mendapatkan sijil halal bagi membolehkan mereka meneruskan perniagaan kalau mahu mengelak ditangkap pihak berwajib agama. Gunakan budi bicara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan