Senarai Blog Saya

JOM FOLLOW | ...:::: BGM online ::::....

Ahad, 22 November 2009

PKR dekati pengundi melalui e-media

posted by PAEH

IPOH – Parti Keadilan Rakyat (PKR) memperkenalkan medium terbaru dalam usaha menambahkan ruang komunikasi kepada rakyat Perak atau pengundi di negeri ini bagi menyampaikan maklumat terkini berkaitan parti berkenaan.

Pengerusi PKR Perak, Mustaffa Kamil Ayub berkata, e-media yang dilancarkan bertujuan memberikan maklumat secara lebih berkesan kepada rakyat seluruh negeri ini.

“E-media ini diwujudkan bagi menambah penggunaan media moden yang sedia ada pada hari ini dan juga sebagai alat komunikasi penting dalam menyampaikan maklumat politik serta isu pelbagai dasar yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di Wisma Keadilan, di sini semalam.

Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Setiausaha Politik PKR Perak, Anuar Zakaria.

Mustaffa Kamil berkata, dengan cara itu pimpinan Keadilan dapat menyebarkan segala maklumat berkenaan secara langsung dan menyeluruh kepada seluruh rakyat negeri Perak.

Selain itu, PKR katanya, turut menggerakkan pelaksanaan Aras Penunjuk Prestasi (KPI) bagi dua kelompok iaitu semua pimpinan PKR dan lima lagi Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Perak serta Cabang-cabang di seluruh negeri ini.

Mustaffa berkata, KPI untuk ADUN Perak akan dikendalikan oleh Dr Lee Bon Chye sebagai penyelaras bagi pelaksanaan perkara berkenaan.

Menurutnya, pelaksanaan KPI itu juga bertujuan untuk memastikan semua ADUN memberikan khidmat mengikut piawaian yang diputuskan oleh PKR menerusi KPI yang bakal dilaksanakan itu.

“Kita faham bahawa rakyat hari ini semakin kritikal untuk menilai sejauh mana kemampuan serta perkhidmatan yang mampu diberikan oleh ahli-ahli Yang Berhormat kita.

“ADUN-ADUN ini perlu dikenal pasti memberikan khidmat yang terbaik kepada rakyat setelah hampir dua tahun kemenangan selepas Pilihan Raya Umum ke-12 dan Sistem penilaian inilah yang bakal menilai sejauh mana kemampuan mereka,” katanya.

Dengan cara itu perkhidmatan dan penampilan mereka (ADUN) perlu sampai ke tahap piawaian yang ditetapkan menerusi KPI itu,” katanya.

Beliau berkata, bagi 24 Cabang yang terdapat di negeri ini akan dikendalikan oleh Setiausaha PKR Perak, Anuar Zakaria.

Justeru, satu borang yang standard akan disediakan untuk digunakan di peringkat Cabang dan ianya penting untuk mengukur kesiapsiagaan bagi menghadapi pilihan raya sekali gus dari segi kemampuan mereka dalam memberikan khidmat kepada rakyat Perak.

Tiada ulasan: