Senarai Blog Saya

JOM FOLLOW | ...:::: BGM online ::::....

Selasa, 17 November 2009

Pakatan Rakyat tetap kukuh



SHAH ALAM – Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mustaffa Kamil Ayub, menafikan bahawa pakatan pembangkang menghadapi krisis. Katanya, situasi semasa dalam PR mampu diselesaikan melalui perbincangan. “Biasalah tu, semua pihak mahu bagi pandangan demi kebaikan parti, tetapi keputusan yang dicapai berdasarkan keputusan bersama dan mahu atau tidak, mesti terima. “Sehingga sekarang ahli parti gabungan (PKR, Pas, DAP) tidak pernah tidak bersetuju dengan keputusan dibuat, tidak timbul soal ada ahli yang memberontak kerana keputusan yang kita buat melalui proses demokrasi,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam. Dalam pada itu, Mustaffa Kamil berkata, pengisytiharan ‘perang’ Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam, bukanlah bermakna ‘perang menggunakan senapang’. “Maksud Ahli Parlimen Permatang Pauh itu adalah perang politik iaitu perang melalui kata-kata. Bila kita dapat kesan ada wujud isu-isu bercanggah, kita akan bangkit, misalnya ada unsur penyelewengan dalam parti kerajaan, kita akan selongkar dan buktikan benda itu benar. Itulah yang dimaksudkan perang kata-kata. “Tetapi masih banyak lagi maksud ‘perang’ yang dikatakan Anwar itu, kita tunggu dan lihat saja,” katanya. Sementara itu Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata, perbezaan pendapat berlaku dalam mana-mana parti sama seperti pasangan suami isteri yang mendirikan rumah tangga. “Ahli parti bercanggah pendapat, benda biasalah, bukan isu besar pun. Penyelesaiannya melalui perbincangan, itu sudah cukup. Jika ada yang kata pakatan pembangkang tak setuju dengan keputusan dibuat sehingga berlaku perang, memang tak logiklah,” katanya. Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, keputusan Anwar yang mahu menyekat Najib daripada menawan Selangor dipersetujui semua pakatan. Beliau berkata, sebarang keputusan yang dibuat oleh salah sebuah parti pembangkang, akan mendapat sokongan. “Memang kita nak ambil alih kerajaan Malaysia, jadi bila Anwar sekat Najib itu adalah perkara terbaik untuk membawa satu perubahan daripada Barisan Nasional kepada PR bagi kesejahteraan rakyat,” katanya. Beliau berkata demikian mengulas tentang Najib yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor dan Pengerusi BN pada beberapa siri lawatannya ke Selangor sebelum ini mengajak pemimpin BN bersatu dan berusaha mulai sekarang untuk merampas kembali negeri Selangor daripada pembangkang. Anwar yang juga Ketua Pembangkang berkata, serangan untuk merampas Selangor dapat dilihat daripada beberapa isu yang cuba ditimbulkan untuk melemahkan kepemimpinan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang juga Pengerusi PKR negeri itu.

Tiada ulasan: