KISAH Ahli Parlimen Kinabatangan berusia 50 tahun itu sudah berkahwin dengan pelakon putih gebu, Zizie Ezette, tiba-tiba menyebabkan lelaki Orang Sungai itu menjadi buah mulut orang.
Namun, Datuk Bung Moktar Radin yang telah berkahwin dengan Datin Nor Asidah Alimudin dan dikurniakan empat orang anak masih mahu berteka-teki.
Sebenarnya, ini bukanlah kali pertama nama Bung Moktar meniti di bibir rakyat Malaysia. ‘Kaki bising’ Dewan Rakyat itu sudah biasa dikaitkan dengan isu panas, antaranya disebabkan kesilapan beliau memilih perkataan yang sesuai semasa berbahas di Dewan yang mulia itu.
Bung Moktar telah menjadi wakil rakyat sejak tahun 1999.
Isu ‘bocor’ pada tahun 2007 tidak mudah dilupakan. Ia gara-gara siling bangunan Parlimen bocor sebelum melarat kepada isu ‘kebocoran’ Ahli Parlimen DAP Batu Gajah, Fong Po Kuan.
Bagi mereka yang mengenali Bung Moktar dan rakannya, Datuk Mohd. Said Yusof yang ketika itu Ahli Parlimen Jasin, tahu mereka tidaklah bermaksud bagai dikata.
Bocor
Mungkin Moktar yang berlucu ‘Mana ada bocor... Batu Gajah tiap-tiap bulan pun bocor juga’ tidak menduga lontarannya mengenai rutin datang haid setiap bulan Po Kuan itu telah mencetuskan kontroversi.
Akibat tindak tanduknya yang spontan dipertahankan oleh Mohd. Said, ia telah mencetuskan desakan daripada beberapa pihak khususnya yang mewakili kaum wanita supaya mereka memohon maaf secara terbuka.
Akhirnya, Kabinet mengarahkan kedua-dua Ahli Parlimen itu memberi penjelasan kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dengan segera kerana perkara itu sudah menjadi isu besar.
Bung Moktar juga pernah menggunakan perkataan ‘celaka’ kerana tidak berpuas hati dengan perkhidmatan syarikat penerbangan AirAsia.
Kerana ‘kenakalannya’, beliau telah diberi pelbagai gelaran. Pada 30 April 2008, Ahli Parlimen DAP Bukit Gelugor, Karpal Singh menggelar Bung Moktar sebagai Bigfoot kerana mendakwa Bung Moktar mengganggunya semasa berucap di dalam dewan.
Ahli Parlimen DAP Ipoh Timur, Lim Kit Siang pula memanggilnya Orang Utan kerana bangun mencelah tuduhan Penasihat DAP itu yang mendakwa Ahli Parlimen BN menggunakan wang rakyat untuk ke Taiwan tetapi tidak mendapat faedah daripada lawatan tersebut tahun lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan