IPOH - DAP Perak menyifatkan perbuatan badan bukan kerajaan (NGO) dan sayap komponen Barisan Nasional (BN) menganjurkan demonstrasi mendesak pemimpin DAP mohon maaf secara terbuka dianggap sebagai perbuatan budak nakal serta ketinggalan zaman.
Setiausahanya, Nga Kor Ming berkata, tindakan 300 orang wakil dari NGO dan parti komponen BN jelas melanggar undang-undang serta sanggup merelakan diri mereka ditipu oleh berita media arus perdana yang palsu.
Menurutnya, terlalu sukar untuk membayangkan pada zaman internet abad ke-21 ini masih ada manusia yang sanggup percaya kepada kisah palsu tidak berasas.
“Perbuatan kumpulan ini yang mendakwa diri mereka mewakili seluruh rakyat Malaysia tetapi datang dengan tuntutan penuh hasad dengki, mengeluarkan pelbagai kata-kata berunsur kebencian serta menuduh DAP menghuru-harakan tanah air.
“Sebenarnya, mereka inilah yang menjadikan negara bertambah kacau bilau dan memecahbelahkan perpaduan pelbagai kaum semata-mata percaya kepada satu sumber sahaja,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini, semalam.
Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan kira-kira 300 orang wakil dari NGO dan parti komponen BN yang menganjurkan demonstrasi aman di perkarangan Wisma DAP, kelmarin.
Kor Ming berkata, mereka ini terus menerus melaksanakan pelbagai agenda untuk menghentam dan menjatuhkan DAP serta rakan pakatan lain semata-mata mahukan kuasa.
Katanya, pelaksanaan pelbagai gerakan atau agenda ini adalah semata-mata mahu memperlihatkan kepada masyarakat bahawasanya DAP adalah parti rasis dan cuba mengganggu-gugat hak orang Melayu.
“Walhal kami tidak pernah langsung terfikir untuk mengganggu-gugat, apatah lagi memporak-perandakan bangsa Melayu yang menjadi sahabat baik kita selama ini.”
“Begitu juga dalam usaha kerajaan untuk memartabatkan Islam, kami tidak pernah membantah bahkan dialu-alukan, cuma kami mahukan kerajaan memberi layanan lebih adil kepada rumah ibadat agama lain bagi mengatasi masalah sosial masyarakat selaras dengan kehendak Rukunegara, Kepercayaan kepada Tuhan,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Pantai Remis juga turut menyelar tindakan kumpulan UMNO yang menghina agama Hindu dengan membawa kepala lembu berdemonstrasi serta membawa sepanduk gambar pemimpin DAP dan beraksi kencing di muka pemimpin DAP di khalayak ramai.
“Ia semua adalah muslihat licik UMNO untuk mengapi-apikan sentimen perkauman dan tindakan terdesak UMNO ini jelas memperlihatkan tanda-tanda kejatuhan kerajaan BN,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan