KOTA BHARU - Pengarah Pilihan Raya Pas Negeri, Abdul Fatah Haron menafikan kenyataan anak Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Nik Amalina bahawa pimpinan negeri membiarkan Menteri Besar Kelantan berseorangan dalam mengharungi pelbagai isu.
Menurutnya, hampir setiap minggu penjumpaan bersama Nik Abdul Aziz dilakukan tetapi pihaknya tidak membuat sebarang kenyataan bagi mengelak keadaan lebih bercelaru.
Malah katanya, kenyataan Nik Amalina menerusi blog-nya sama sekali tidak membantu dalam menyelesaikan masalah yang timbul.
“Kita setiap minggu bersama Tok Guru dan hasil pertemuan itu tidak semestinya kita keluarkan kenyataan, kita serahkan kepada tok guru untuk keluarkan kenyataan supaya tidak bercanggah de-ngan pendapat lain, kita tidak mahu benda kecil jadi besar,” katanya semalam.
Anak Nik Abdul Aziz itu adalah isteri Abdul Ariffahmi Ab Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif PMBK, yang dipaksa meletakkan jawatan susulan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Oktober lalu.
Nik Amalina, anak kesembilan daripada 10 beradik, sebelum ini pernah ditegur oleh Ketua Penerangan Pas, Idris Ahmad dengan alasan tulisan di blognya ‘membuka pekung di dada’.
Sebelum membuka Seri Suri pada 11 Disember lalu, wanita itu pernah meluah-kan rasa hatinya berhubung kontroversi suaminya itu me-lalui blog Ahli Parlimen Pas, Dr Siti Mariah Mahmud, hujung bulan lalu.
Abdul Fatah berkata, dalam menyelesaikan kemelut yang berlaku kini, adalah perlu setiap individu bermuhasabah dan tidak banyak mengulas isu yang berbangkit.
“Benda ini tidaklah besar tetapi semua pihak di kalangan parti dan kerajaan harus meredakan keadaan dan muhasabah, cari jalan yang terbaik.
“Dalam keadaan ini adalah baik mendiamkan diri. Kita serahkan kepada Tok Guru untuk menyelesaikan masalah, sama ada masalah dalaman keluarga atau politik,” katanya.
Dalam pada, Fatah berkata, tidak salah untuk Nik Amalina menulis di blognya apatah lagi membela suaminya, tetapi setiap tulisannya tidak boleh menimbulkan keadaan yang makin bercelaru.
“Menulis itu adalah kebebasan, tetapi kalau menulis menyebabkan orang lain akan membalas, saya rasa itu perlu diambil perhatian oleh penulis terutamanya keluarga Tok Guru. Dia boleh menulis tapi tulis berhati-hati tetapi jangan sampai ia berlarutan.
“Membela suami hak dia, tetapi menuduh orang lain tidak membela tok guru itu tidak betul,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan