Senarai Blog Saya

JOM FOLLOW | ...:::: BGM online ::::....

Selasa, 8 Disember 2009

Pas Selangor pantau ahli berjawatan

demokrasi93.blogspot.com

SHAH ALAM – Pas Selangor menafikan wujud salah guna kuasa dalam kalangan Pemuda Pas dan menegaskan bahawa barisan kepimpinan parti itu sentiasa dipantau agar tidak terlibat dalam sebarang penyelewengan.

Setiausaha Perhubungan-nya, Khairuddin Othman berkata, setakat ini tidak ada barisan pemimpin parti itu yang dikaitkan dengan kes salah guna kuasa atau terbabit dalam aktiviti penyelewengan wang.

“Setakat yang kita tahu, tidak timbul isu penyelewengan atau salah guna kuasa dalam kalangan ahli Pas kerana kita sentiasa memantau ahli-ahli yang berjawatan atau memegang jawatan sebagai kakitangan awam.

“Namun bagi mereka yang memang mempunyai perniagaan sendiri dan hidup mewah itu adalah hak masing-masing sekiranya mereka mampu,” katanya.

Khairuddin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan penulis blog, Abdul Rahman Talib di dalam Malaysia Waves yang mendakwa Pemuda Pas hidup mewah dan mampu memiliki kereta mewah.

Khairuddin berkata, dakwaan berkenaan adalah perkara biasa yang sering dilakukan oleh musuh politik yang mahu menjatuhkan imej parti dan merosakkan kepercayaan masyarakat terhadap Pas.

“Biasalah mana-mana orang yang menuduh kita. Ini hanya agenda sebahagian musuh politik yang mahu merosakkan imej parti.

“Sekiranya dakwaan yang dibuat benar, saya minta agar penulis blog itu kemukakan bukti kepada kami,” katanya.

Dalam pada itu katanya, selain membuat dakwaan mengenai kemewahan ahli Pas, penulis blog itu seharusnya menulis tentang kemewahan dan penyalahgunaan kuasa yang dilakukan oleh ahli UMNO.

“Jika hendak bercerita tentang kekayaan atau salah guna kuasa, kita perlu semak balik penyelewengan yang dilakukan oleh pemimpin UMNO.

“Jangan asyik mahu mencari kesalahan Pas tetapi tumpukan sahaja perhatian untuk membangunkan parti masing-masing,” katanya.

Tiada ulasan: