KUALA TERENGGANU – Isu minyak Petronas akan ‘diselesaikan’ sendiri oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang sekiranya kerajaan gagal bertindak menyelesaikan perkara tersebut mengikut cara yang betul.
Timbalan Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Abu Bakar Chik berkata, beliau percaya rakyat akan me-ngambil tindakan sendiri setelah melihat reaksi lemah kerajaan meskipun pelbagai pihak membangkitkan isu itu.
Menurutnya, minyak adalah hak milik negeri yang mengeluarkan hasil bumi tersebut dan oleh itu, Kerajaan Pusat harus mengembalikan hasil kepada Kerajaan Negeri bukannya bertindak menyekatnya.
“Kerajaan Pusat kena hormati Perlembagaan dengan menyerahkan hak Kerajaan Negeri kerana minyak diakui sebagai kepunyaan negeri, perjan-jiannya jelas dan menjadi tanggungjawab Kerajaan Pusat mematuhinya.
“Tetapi kita rasa kesal kerana kerajaan hanya beri Terengganu dan Kelantan wang ehsan, bukannya royalti sebagai mana dijanjikan dan keadaan ini menyebabkan berlakunya penyelewengan,” katanya.
:Bekas Menteri Kewangan, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah sebelum ini memberitahu, Malaysia sudah menjadi negara ‘sumpahan minyak’ di mana hasil buminya itu tidak digunakan bagi tujuan asal penubuhan Petronas, tetapi dibazirkan kerajaan.
Menurutnya, hasil minyak yang sepatutnya menjadi warisan kekayaan untuk semua rakyat negara ini dan generasi akan datang, sebaliknya digunakan bagi menunjangi pemerintahan autoritarian, menghakis demokrasi dan korup keseluruhan golongan politik dan perniagaan.
Abu Bakar berkata, Tengku Razaleigh sebagai pengasas Petronas dan salah seorang penggubal akta perjanjian minyak Petronas memang mengetahui perkara sebenar yang terjadi dan kenyataan tersebut adalah benar.
“Beliau (Tengku Razaleigh) telah lama memberi sokongan (isu royalti minyak) dan jika kerajaan masih belum bertindak ia akan memberi impak lebih besar kepada suara-suara yang selama ini memperjuangkan royalti minyak.
“Jangan tunggu berlaku lebih banyak kerosakan (pada Petronas) barulah tindakan akan diambil,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan