Senarai Blog Saya

JOM FOLLOW | ...:::: BGM online ::::....

Jumaat, 18 Disember 2009

Pas kempen ‘UMNO Pengkhianat Rakyat’

demokrasi93.blogspot.com

SEREMBAN - Kempen ‘UMNO Pengkhianat Rakyat’ yang akan dilancarkan Pas pada 9 Januari depan dijangka memberi tamparan hebat kepada UMNO.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Mohamad Taufek Abd Ghani mendakwa, sebagai memintas program UMNO iaitu ‘UMNO Juara Rakyat’ pada tahun depan, Pas pula akan menganjurkan kempen tersebut bagi membongkar segala ‘pembohongan dan juga kezaliman’ parti Melayu itu kepada orang Melayu dan umat Islam.

Menurut beliau, kempen yang akan dilancarkan berkenaan turut dilengkapi dengan sebuah buku kecil yang mengandungi pelbagai fakta dan maklumat mengenai kepentingan orang Melayu yang didakwa disalahgunakan.

“Antara fokus yang akan diketengahkan dalam buku tersebut ialah tanah rizab Melayu yang kini dilihat semakin berkurangan.

“Jika dulu tanah rizab Melayu mempunyai jumlah yang besar, tetapi kini dilihat ianya semakin mengecil dan berkurangan. Situasi ini menandakan ada sesuatu yang tidak kena terhadap perkara tersebut,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Buku yang sudah lengkap dan siap dicetak itu, akan diedarkan ke seluruh negara bagi memberi pengetahuan kepada masyarakat terutamanya orang Melayu mengenai pembohongan yang dilakukan oleh UMNO.

“Segala bahan dan maklumat yang terdapat dalam buku itu adalah sahih, kerana kebanyakan maklumat diperoleh terdiri daripada bahan-bahan fakta yang sahih daripada sumber-sumber kerajaan dan juga melalui soal jawab di Parlimen.

“Maka dengan itu, kita yakin UMNO akan ‘ditampar’ hebat, memandangkan segala pembohongan yang mereka lakukan selama ini terhadap rakyat akan dibongkar secara besar-besaran,” katanya.

Kata Taufek, jika segala maklumat didedahkan Pas dalam buku tersebut didapati tidak benar, mereka mendakwa rela dikenakan tindakan undang-undang.

“Kita tidak takut dengan UMNO, apa yang penting, kita dapat dedahkan segala maklumat yang tepat dan sahih kepada masyarakat.

“Saya berharap melalui kempen ini masyarakat Melayu dapat membuka minda mereka, sekali gus memikirkan dengan mendalam apa yang dilakukan oleh UMNO sejak mereka memerintah 50 tahun yang lalu,” katanya.

Tiada ulasan: