Senarai Blog Saya

JOM FOLLOW | ...:::: BGM online ::::....

Isnin, 21 Disember 2009

PR akui kurang sokongan warga tua


SHAH ALAM – Pas Selangor tidak menafikan bahawa Pakatan Rakyat (PR) memperoleh lebih banyak sokongan daripada golongan muda berbanding golongan tua.

Setiausaha Badan Perhubungan Pas Selangor, Mohd Khairuddin Othman berkata, kenyataan yang dibuat Ketua Umum PR, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu adalah selaras dengan apa yang diperkatakan di dalam Seminar Politik Pas yang lalu.

“Kita sedia maklum bahawa sokongan daripada golongan tua sememangnya kurang berbanding sokongan daripada golongan muda, bahkan majoriti masyarakat Melayu masih ‘taksub’ dengan UMNO.

“Sewaktu pilihan raya umum yang lalu, ramai pengundi muda menyokong PR, namun saya yakin dengan pelaksanaan yang dijalankan PR di Selangor seperti Skim Mesra Usia Emas (SMUE) serta beberapa bantuan dan aktiviti lain, rakyat akan mula memahami PR,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Anwar berhubung sokongan golongan tua terhadap PR yang dikatakan kurang daripada sokongan golongan muda.

Menurutnya, sokongan terhadap PR bagaimanapun tidak sewajarnya dinilai berdasarkan faktor usia muda atau tua.

“Sokongan ini juga dipengaruhi oleh tempat, contohnya di Kedah dan Kelantan, yang mana mendapat banyak sokongan daripada golongan tua. Justeru, kita tidak boleh kata sokongan berdasarkan faktor usia semata-mata.

“Namun, Pas Selangor yakin dengan apa yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri akan mampu membawa perubahan besar,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, berdasarkan kajian daripada badan-badan bebas, beliau tidak menafikan sokongan golongan tua terhadap PR adalah kurang.

“Memang terdapat perbezaan (sokongan daripada golongan muda dan tua) tetapi tidak begitu drastik, di bawah 50 peratus. Bahkan, di dalam pilihan raya umum, golongan muda yang banyak membantu membawa kemenangan kepada PR kerana mereka ini lebih berani membawa perubahan.

“Sebagai kerajaan, banyak aktiviti yang diadakan di peringkat negeri yang melibatkan semua golongan termasuklah golongan tua, dan saya yakin dalam tempoh dua atau tiga tahun akan datang, PR akan dapat menambat hati mereka,” katanya.

Menurut Roslan, beliau tidak menafikan bahawa secara tradisi ramai golongan tua yang menyokong pihak pembangkang.

“Bagaimanapun, saya berharap agar rakyat dapat menilai berdasarkan prestasi PR sepanjang tempoh pemerintahan di negeri ini,” katanya.

1 ulasan:

mulutlancang berkata...

Gulungan tua ni semakin lama semakin berkurangan jumlahnya.Yang takutnya, depa nilah yang jadi pengundi hantu selepas mati...korang kena jaga hantu-hantu ini...