Senarai Blog Saya

JOM FOLLOW | ...:::: BGM online ::::....

Selasa, 30 November 2010

Negara Islam: PAS akui ada kekangan tetapi akan laksana secara berperingkat




KUALA LUMPUR, 1 Dis — Sambil menyedari wujudnya tentangan berhubung idea negara Islam daripada kalangan sesetengah pihak, PAS menegaskan, parti komponen Pakatan Rakyat (PR) itu akan berusaha ke arah negara Islam dengan undang-undang hudud sebagai asasnya secara berperingkat jika dapat menawan Putrajaya.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengakui konsep itu belum menerima tarikan kalangan parti komponen PR sendiri tetapi mendakwa bangkangan terhadap idea itu hanya kerana kurangnya fahaman mengenai konsep negara Islam.
Pemimpin veteran ini memberitahu The Malaysian Insider, PAS akan memfokus usaha memperkenalkan undang-undang seperti yang diamalkan di Kelantan dan Kedah terlebih dahulu bagi membolehkan rakyat Malaysia menilai merit prinsip Islam dan undang-undang hudud. “Kita akan melaksanakan peringkat demi peringkat kerana kita perlu sedar bahawa yang pertama perlu difahami adalah perkataan Islam itu sendiri,” katanya.
Hadi menjelaskan Islam tidak boleh diterjemahkan kerana perkataan agama itu sendiri tidak memenuhi makna Islam dengan menyeluruh.
“Islam bukan sahaja agama tetapi adalah satu cara hidup bagi orang Islam yang melibatkan segala aspek.
“Yang kedua, kena sedar bahawa negeri kita mengamalkan sistem federalisme iaitu adalah ada bidang kuasa negeri-negeri,” katanya.
Kata Hadi, jika federalisme ini dapat diamalkan dalam konsep yang tepat yang mana PAS diberi peluang untuk menunjukkan konsep Islam yang sebenar dalam perjuangan dan negeri yang memerintah seperti Kelantan dan Kedah, ia dapat dilihat seluruh rakyat Malaysia mengikut pandangan mereka.
Kini PR memerintah empat negeri dengan Kelantan dan Kedah Menteri Besarnya adalah pemimpin PAS.
PAS memerintah Kelantan sejak 1990 dan pernah menerajui Terengganu antara 1999 dan 2004.
“Ini boleh menyebabkan kita mendirikan sebuah negara yang diterima semua, oleh sebab itu kita tidak mahu dari segi slogan sahaja sebagai negara Islam tetapi isinya tidak Islam.
“Ia perlu dilakukan secara peringkat,” kata bekas Menteri Besar Terengganu ini, dari 1999 hingga 2004.
Pada Julai lalu, pakar perlembagaan Prof A Aziz Bari berkata, debat mengenai negara Islam dan negara sekular tidak perlu dibangkitkan kerana polemik itu tidak akan menguntungkan sesiapapun, sebaliknya hanya mengelirukan umat Islam dan menakutkan bukan Islam.
Oleh itu menurut Aziz, semua orang harus berhenti dari bercakap tentang negara Islam kerana berpendapat orang Islam tidak akan jatuh kafir hanya kerana tidak bercakap tentang negara Islam.
“Tetapi bagi orang politik mereka lain, bagi mereka ini soal prinsip.
“Orang politik dari parti mana puan asyik prinsip saja. Atau pun mereka bertindak demikian kerana takut nanti orang tanya kenapa tidak persoal tentang perkara itu (negara Islam).
“Ini sebenarnya masalah antara Karpal dan Nik Aziz tadi,” katanya mengulas Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika itu yang mengatakan bahawa PAS akan terus melaksanakan Islam yang diperjuangkan sejak sekian lama walaupun ada bangkangan daripada beberapa pemimpin parti rakan sekutu dalam Pakatan Rakyat termasuk DAP.
Sehubungan itu beliau mahu Pengerusi DAP Karpal Singh supaya membuktikan konsep negara Islam acuan PAS, yang telah dilaksanakan di Kelantan selama 20 tahun, adalah salah.
Nik Aziz menganggap kenyataan Karpal, Pengerusi DAP yang menolak gagasan pembentukan konsep negara Islam PAS jika Pakatan Rakyat dapat menguasai pentadbiran negara, sebagai kenyataan peribadi.
Dalam satu temu bual dengan The Malaysian Insider awal Julau lalu juga Karpal mengulangi pendiriannya menolak untuk berkompromi terhadap konsep negara Islam yang diperjuangkan PAS sekiranya pembangkang mengambil alih negara.
Bagaimanapun, setakat ini Nik Aziz berkata beliau tidak nampak DAP secara terus-terang menolak dasar Islam yang diperjuangkan oleh PAS, cuma yang ada suara-suara sumbang beberapa kerat pemimpinnya dari luar.
Dalam temu bual dengan The Malaysian Insider yang diadakan di pejabatnya di bangunan Parlimen kelmarin, Hadi menambah, sudah tentu pihaknya akan membuat perubahan berasaskan daripada konvensyen sulung PR Disember 2009 di Shah Alam iaitu berpegang teguh pada prinsip perlembagaan diterima oleh semua.
PR akan mengadakan konvensyen kedua pertengahan bulan ini di Pulau Pinang.
“Kita akan terjemahkan prinsip Perlembagaan, ini sangat penting yang mana kita perlu meletakkan Islam sebagai Islam yang sebenar, agama yang memerintah, agama yang memerintah yang membuktikan keadilan kepada semua,” kata Ahli Parlimen Marang ini.
Hadi menambah, apa yang berlaku hari ini ialah Umno mewarisi sekularisme yang ditinggalkan British yang tidak boleh menunjukkan model Islam kepada bukan Islam.
Oleh itu kata beliau, penting bagi pihaknya memastikan Islam menunjukkan model yang baik bukan sahaja kepada orang Islam tetapi bukan Islam juga iaitu “model tak rasuah, model bersih dan model pemimpin yang adil dan baik... ini yang perlu kita tunjukkan.” Hadi juga yakin perubahan model ini akan menghasilkan satu anjakan besar kepada politik negara apabila orang bukan Islam melihat konsep yang sebenar.
“Ini yang perlu dilakukan yang mana keadilan untuk semua dapat dibuktikan.
“Perubahan ini kita akan lakukan termasuk melibatkan institusi diraja, kita tidak mahu raja ini jadi tempat mengampu, kita mahu raja ini adalah seorang raja yang berdaulat, seorang raja yang hebat, raja yang boleh bersama rakyat bukan raja seperti yang dibuat Umno sekarang ini,” kata beliau lagi.
“Umno sesekali guna raja, sesekali tendang raja... itu kita tidak lakukan,” kata beliau dilihat merujuk kepada pindaan perlembagaan pada 1980-an dan 1990-an untuk mengurangkan kekebalan raja-raja Melayu.
Ditanya jika PAS memenangi kerusi daripada Umno, adakah ia akan menjadikan parti itu mendapat kerusi majoriti, Hadi menjelaskan sekiranya orang-orang Melayu berubah dari segi pemikiran mereka untuj menjadikan PAS sebagai alternatif kepada Umno, maka ia boleh berlaku.
“Kita boleh menang dan tidak mustahil ia boleh berlaku, undi Melayu boleh berubah dan di Johor yang kuat Umno hari ini pun kita sudah ada dua kerusi,” kata beliau yang pernah menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen.
“Secara jelas dan terang sehingga hari ini sudah tentu kita akan mempertahankan Kelantan, Kedah, sudah tentu Terengganu kita akan ambil balik manakala negeri-negeri lain adalah kerusi campuran yang akan kita bincangkan,” kata Hadi.
Mengenai kedudukan di Sabah dan Sarawak pula, kata beliau, PAS akan berbincang dalam PR.

Tiada ulasan: