Senarai Blog Saya

JOM FOLLOW | ...:::: BGM online ::::....

Rabu, 17 November 2010

Badan peguam antarabangsa gesa ISA dimansuhkan


KUALA LUMPUR, 18 Nov — Institut Hak Asasi Manusia Persatuan Peguam Antarabangsa (IBAHRI) menggesa kerajaan Malaysia memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), yang berusia lima dekad, atas alasan penggunaannya melanggar lunas perundangan dan hak asasi manusia di sebuah negara demokrasi.
Badan antarabangsa itu berkata, perbicaraan ke atas blogger berkontroversial Raja Petra Kamarudin (gambar), yang dua tahun lalu ditahan di bawah ISA, menunjukkan Malaysia menggunakan undang-undang sedemikian bagi mengekang kebebasan bersuara.
Penggunaan ISA oleh Malaysia telah menghalang hak-hak individu untuk mempertahankan diri dan selain meletakkan kuasa arbitari mutlak pada pihak kerajaan, kata Martin Solc, pengerusi bersama IBAHRI yang berpejabat di London, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
“Proses yang sewajarnya dan hak-hak untuk mempertahankan diri adalah komponen penting lunas perundangan, yang merupakan asas bagi sesebuah negara demokratik,” kata beliau.
Sehubungan itu tegas beliau, sebagaimana ditunjukkan oleh laporan perbicaraan Raja Petra, akta berkenaan mengekang kebebasan bersuara.
IBAHRI baru-baru ini menghasilkan laporan bertajuk “Malaysia: The Delicate Balance Between Security and Due Process”, yang boleh diperoleh dari laman www.ibanet.org, berdasarkan pemantauan terhadap penahanan dan perbicaraan editor Malaysia Today itu.
Dalam ringkasan laporan, persatuan itu mendakwa ISA kini digunakan untuk menahan seseorang untuk tempoh yang tidak terhad, mengekang hak seseorang untuk melalui proses perundangan sewajarnya dan perbicaraan adil, menghukum seseorang bagi kesalahan yang bukan ditahan awalnya dan mereka yang ditahan pula tidak dibicarakan.
IBAHRI, yang sebahagian daripada Persatuan Peguam Antarabangsa (IBA) yang berusia 63 tahun mempunyai 40,000 ahli di seluruh dunia berkata, telah menghantar saranan agar ISA dikaji semula tetapi mahu pentadbiran Najib memansuhkan undang-undang itu.
Kumpulan itu berkata, tindakan sedemikian akan memastikan kesemua rakyat Malaysia dilindungi daripada salah guna akta sedemikian, yang bercanggah dengan undang-undang antarabangsa.
Berkuat kuasa 1 November lalu, Raja Petra yang kini berada di luar negara dianggap bebas selepas Mahkamah Persekutuan membatalkan rayuan Kementerian Dalam Negeri berhubung keputusan Mahkamah Tinggi membebaskan penulis blog itu daripada
tahanan dua tahun mengikut ISA pada 2008.
Keputusan sebulat suara itu dibuat tiga panel hakim dipengerusikan Hakim Besar Malaya Tan Sri Arifin Zakaria yang berpendapat bahawa isu di mana kementerian mahu mahkamah menentukan adalah akademik kerana perintah penahanan yang dikeluarkan ke atas Raja Petra telah luput.
Pada 7 November, 2008, Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan pembebasan Raja Petra daripada tahanan ISA selepas memutuskan bahawa penahanannya selama dua tahun di kem tahanan Kamunting di Taiping adalah menyalahi undang-undang.
Beliau ditangkap pada 12 September 2008 kerana dianggap sebagai satu ancaman kepada keselamatan negara dan perintah untuk menahannya mengikut ISA dikeluarkan pada 22 September 2008.
Raja Petra ditahan berdasarkan antara lain, memiliki dan menjalankan laman web Malaysia Today dan dengan niat dan menerbitkan artikelnya dan juga komen-komen pembacanya dengan sewenang-wenangnya, yang menghina orang Islam, kesucian Islam dan peribadi Nabi Muhammad S.A.W.
Beliau memfailkan satu permohonan habeas corpus menuntut pembebasannya. Dalam permohonannya, dia menamakan Menteri Dalam Negeri sebagai responden.
Datuk Seri Najib Razak dalam ucapan sulungnya selepas dilantik Perdana Menteri April 2009 berjanji akan mengkaji semula ISA.
Jun lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata pindaan kepada ISA dan enam undang-undang pencegahan yang lain telah diluluskan oleh Jabatan Peguam Negara dan akan dibawa ke Kabinet dalam masa terdekat.
Beliau berkata masih ada beberapa perkara yang perlu diperkemaskan dan tidak pasti bila ia akan dibawa ke Parlimen.
Selain ISA, undang-undang yang akan dipinda adalah Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) 1969, Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985, Akta Kediaman Terhad 1933, Akta Buang Negeri 1959, Akta Pencegahan Jenayah 1959 dan Seksyen 27 Akta Polis 1967 berkaitan perhimpunan.
Pada Mac lalu, Kabinet memutuskan pindaan ISA harus dibentang pada persidangan Parlimen bersama-sama enam lagi akta berkaitan pencegahan yang juga perlu dipinda.

Tiada ulasan: