GUA MUSANG, 3 November : Masyarakat Orang Asal perlu memperjuangkan hak mereka dan tidak membiarkan dipermain pemimpin Umno yang datang mengharapkan undi ketika musim pilihan raya sahaja.
Ketika ini pelbagai agensi kerajaan bermukim sejak hampir sebulan di beberapa penempatan Orang Asal termasuk Jabatan Hal Ehwal Orang Asli, pasukan Rela, tentera dan pelbagai lagi.
Setiap hari kakitangan agensi kerajaan terbabit menyediakan makanan dan pelbagai bantuan lain. Difahamkan mereka memasang karaoke setiap. Dan ada juga pihak menghidangkan minuman keras.
Malah difahamkan setiap rumah Orang Asal di penempatan mereka ditampal bendera dacing dan Umno tanpa kerelaan mereka.
Masyarakat Orang Asal bukan sekadar dipermainkan sebaliknya projek bekalan air terawat kawasan luar bandar oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah di Pos Brooke, Lojing kini menjadi projek gajah putih.
Projek berkenaan dbina setahun lalu di 13 lokasi dengan mendapatkan sumber air tandak yang dibekalkan ke rumah-rumah penduduk Orang Asal.
Bekalan air yang dibekalkan tidak dirawat dan kini menghadapi masalah dari segi penyelenggaraan.
Ketiadaan penyelenggaraan menyebabkan kawasan tadahan tersumbat menyebabkan banyak penduduk tidak mendapat bekalan air.
Jurucakap Orang Asal berkata, pada Ogos lalu pekerja syarikat Kob Engineering & Electricity yang bertanggungjawab menyediakan kemudahan berkenaan telah meninggalkan lokasi pembinaan tanpa menyiapkan sepenuhnya kerja.
“Pemaju terbabit tidak lagi datang ke Pos Brooke untuk menyelesaikan masalah tersebut,” katanya.
Pemimpin masyarakat Orang Asal, Pandak Panjang Ey berkata, masyarakat Orang Asal menjadi mangsa sedangkan kerajaan menghabiskan begitu banyak peruntukan melalui Jabatan Hal Ehwal Orang Asli setiap tahun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan