Senarai Blog Saya

JOM FOLLOW | ...:::: BGM online ::::....

Selasa, 16 November 2010

ZAID BOLEH SERTAI PAS TETAPI BUKAN ZAID YANG ADA SEKARANG

Oleh: WFAUZDIN NS
SAYA menyokong sepenuhnya kenyataan Naib Presiden PAS, YB Salehuddin Ayub berkaitan isu Dato Zaid Ibrahim. Naib Presiden PAS itu menyatakan bahawa Zaid Ibrahim berhak untuk memilih PAS sebagai wadah perjuangan politiknya, tetapi samada PAS menerima atau menolaknya terletak di tangan PAS setelah meneliti dari semua aspek.

Mungkin Zaid Ibrahim merasakan beliau sudah tidak secucuk dengan PKR, memandangkan DS Anwar dan YB Azmin masih tetap ingin setia bersama perjuangan PKR. Hanya dua makhluk ini lah yang membuatkan Zaid bercita-cita untuk menubuhkan parti baru. Melainkan jika DS Anwar dan Azmin bersedia berundur dan menyerahkan `leher' PKR kepadanya untuk di`sembelih'.

Sekiranya beliau tidak berminat dengan DAP, Umno juga awal-awal lagi tidak mahu menerima seorang yang pentingkan diri sendiri, sudah tentu PAS termasuk di dalam perkiraan Zaid seandainya beliau membatalkan hasratnya untuk menubuhkan parti baru. Saya bersyukur sekiranya PAS dipilih oleh Zaid menjadi wadah perjuangannya kerana beliau akan mendapat tarbiyyah di dalam PAS nanti bagaimana untuk menjaga adab berjemaah dan menghormati pemimpin.

Tidak semua yang memasuki PAS boleh menjadi pemimpin yang baik, contohnya seperti Zul Kulim Bandar Baru yang berada di dalam PAS kemudiannya masuk PKR, keluar PKR dan kini langsung `bertelanjang' tanpa parti. Tetapi masih ramai pemimpin yang ditarbiyyah oleh PAS mampu menjadi pemimpin yang baik serta berakhlak tinggi.

Mungkin ada di kalangan PAS merasa bimbang seandainya Zaid menyertai PAS, dikhuatiri Zaid akan `menghalau' Tuan Guru Hj Hadi atau Tuan Guru Nik Aziz keluar dari PAS pula dan beliau berkata beliau layak menjadi Presiden PAS atau Mursyidul Am PAS. Kebimbangan itu mungkin berasas tetapi saya berpendapat Zaid tidak mungkin akan berbuat demikian. Di dalam PAS majoriti bukan kuasa mutlak, tetapi majoriti di dalam PAS mestilah diperakui oleh Majlis Syura Ulamak. Ini membuktikan PAS meletakkan hukum Islam sebagai hukum tertinggi di dalam membuat keputusan. Adakah Zaid bersedia untuk menerima dasar PAS itu?

Saya yakin, sekiranya Zaid sudah berada di dalam PAS, beliau pasti akur dengan segala dasar PAS. Seandainya beliau masih mengekalkan cara pemikirannya seperti sekarang, Zaid pasti akan ketinggalan di dalam PAS. Usahkan untuk menjadi Presiden PAS, untuk menjadi Wakil Rakyat sahaja PAS meletakkan syarat yang amat ketat agar setiap Wakil Rakyat PAS dilihat bermoral dan berakhlak. Mereka yang merokok tidak akan dicalonkan oleh PAS, apatah lagi mereka yang berkekalan melakukan dosa-dosa besar yang lain.

Zaid perlu memikirkan semasak-masaknya sebelum menyertai PAS. Saya bimbang setelah beliau menyertai PAS, apabila beliau ingin merebut sebarang jawatan di dalam PAS akan timbul pula nanti PAS menipu dan pilih kasih di dalam pemilihan setelah mendapati dirinya tidak mendapat sokongan. Ertinya, Zaid mesti berubah. Zaid boleh sertai PAS, tetapi bukan Zaid yang ada sekarang.

Tiada ulasan: