Senarai Blog Saya

JOM FOLLOW | ...:::: BGM online ::::....

Sabtu, 9 Januari 2010

TG Nik Aziz nasihat hormati hak kebebasan agama lain





SHAH ALAM – Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyelar mana-mana individu yang terbabit dalam insiden membakar tiga gereja di Lembah Klang kelmarin kerana tindakan itu hanya akan menyemarakkan perasaan sensitif di kalangan kaum dan penganut agama lain.:

Beliau berkata, perbuatan seperti itu tidak sepatutnya berlaku dalam sebuah negara yang mengamalkan kebebasan beragama.

“Dulu perarakan kepala lembu, tetapi nasib baik kaum Hindu tidak mengamuk. Kali ini bakar gereja pula. (Apakah) mereka yang melakukan kerja ini tidak terasa yang mereka telah melukakan hati saudara rakyat senegara? Ini adalah masalah paling besar yang berlaku hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penutup Seminar Penerangan Pas di Wisma Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini, semalam.

Nik Abdul Aziz berkata, gereja adalah harta penganut Kristian dan semua rakyat di negara ini perlu menghormati hak penganut agama lain.

"Semua kaum patut menghormati orang lain dan mematuhi ajaran agama masing-masing. Kalau kita buat jahat, dosanya akan kita tanggung di akhirat," katanya.

Sementara itu Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam ucapannya berkata, kepimpinan Pas perlu memperbanyakkan penerangan kepada rakyat berhubung isu semasa negara, bukannya menggunakan pendekatan menyerang.

Beliau berkata, adalah kewajiban pemimpin menyedarkan masyarakat mengenai kebenaran.

"Saya ingatkan semua pimpinan parti, kewajipan kita adalah harus lebih banyak memberi penerangan, bukan menyerang. Sebab itulah kita namakan lajnah (biro) penerangan, bukan serangan.

“Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menyedarkan masyarakat. Ia bukan sahaja mendapat ganjaran pahala besar, malah ia prasyarat mencapai kemenangan,” katanya.

Menurutnya, kemunculan blog juga boleh mengundang kepada laporan tidak tepat sehingga boleh memberi kesan buruk kepada masyarakat sekiranya ia tidak ditangani.

:Bagaimanapun, Abdul Hadi berkata, perkara yang paling penting, pemimpin parti mesti mempunyai iltizam dan istiqamah untuk memberi keterangan sebenar kepada masyarakat seandainya berdepan dengan maklumat yang salah dilaporkan dalam blog.

”Tidak apa jika maklumat betul, tetapi jika salah ia menimbulkan masalah dalaman. Sebab itu tugas penerangan sangat penting dalam hal ini,” katanya.

Tiada ulasan: