KOTA BHARU - Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan pihak paderi dan sami di negeri itu dalam masa terdekat bagi meneruskan hubu-ngan baik yang berlangsung selama ini.
Katanya, perkara tersebut diputuskan dalam mesyuarat Exco dan persetujuan untuk membuat pertemuan tersebut telah dicapai dengan pihak terbabit.
“Pihak Paderi telah setuju, manakala sami belum tahu lagi kerana belum dapat berhubung dengan ketuanya. Tujuannya hendak meneruskan keharmonian yang sedia ada. Walaupun peristiwa 13 Mei negeri lain dibakar dan sebagainya (tetapi ia tidak berlaku di negeri ini).
“Sedangkan Kelantan hendak bunuh semua boleh sebab ramai orang Melayu. Tetapi tidak boleh disebabkan berdosa,” katanya ketika ditemui selepas hadir di Majlis Sambutan Asyura di sini, kelmarin.
Terdahulu dalam ucapannya, Nik Aziz mengecam tindakan sesetengah pihak yang melakukan kerosakan di gereja yang sama sekali bertentangan dengan ajaran Islam.
Menurutnya, Kerajaan Pas Kelantan tetap akan meneruskan hubungan baik dengan agama-agama lain walaupun terdapat pelbagai isu yang melanda kebelakangan ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan