KOTA BHARU - Bagi memberi penerangan dan penjelasan sebenar berkaitan isu royalti minyak, satu ceramah perdana akan diadakan jam 9.30 malam 28 Januari di Dewan Utama, Kelantan Trade Centre (KTC).
Ceramah anjuran Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Minyak (GEGAR) itu akan disampaikan bekas Pengerusi PETRONAS, Tan Sri Razaleigh Hamzah bertujuan untuk merungkai kebenaran tentang royalti Petroleum mengikut Akta Pembangunan 1974 dari perspektif orang yang bertanggungjawab membuat draf undang-undang.
Pengerusi Bersama GEGAR, Dr Abdul Halim Yusof berkata, Tengku Razaleigh adalah orang yang tepat untuk berbicara isu royalti minyak sebagai pihak yang memahami maksud tersurat dan tersirat tentang akta tersebut.
”Selain memberi penjelasan sebenar berkaitan royalti minyak ini, tujuan kedua ianya diadakan adalah untuk menggesa pihak yang beriya-ia menafikan hak royalti milik Kerajaan Negeri ini supaya berhenti daripada berbohong dan mengelirukan rakyat Kelantan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis sidang media dekat sini.
GEGAR adalah gabungan 50 badan bukan kerajaan (NGO) dari Kelantan dan Terengganu bertujuan untuk menjalankan aktiviti-aktiviti berkaitan NGO di dua negeri ini.
Abdul Halim berkata, dalam masa sama ceramah berkenaan untuk mengingatkan semua pihak akan hak sesebuah negeri di Malaysia dalam amalan federasalisma di mana hak-hak negeri mesti ditunaikan dan sama sekali tidak boleh diceroboh seperti mana ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan Malaysia.
Katanya, keluhuran perlembagaan sebagai satu rukun negara menuntut kesaksamaan dan pelaksanaan mengikut lunas-lunas ditetapkan, maka rakyat Kelantan berhak menuntut hak mereka yang dijamin oleh perlembagaan.
Beliau berkata, pemberian wang ihsan hanya akan merugikan rakyat Kelantan sendiri dari segi pelaksanaan, penggunaan dan pengagihan dana tersebut berbanding dengan pembayaran royalti.
”Rakyat sudah bosan apabila mereka diperbodohkan dengan pelbagai penerangan dalam isu royalti minyak ini yang diputar belit oleh pihak-pihak tertentu termasuk segelintir rakyat Kelantan sendiri.
”Mereka menolak wang ihsan kerana ia bertentangan dengan maksud dan hak yang terkandung dalam perjanjian yang telah dipersetujui oleh Kerajaan Negeri Kelantan dengan PETRONAS dan ditandatangani pada tahun 1975,” katanya.
Sementara itu, GEGAR juga akan menganjurkan Debat Terbuka Royalti Minyak yang akan diadakan pada 13 Februari ini di Balai Islam.
Debat ini akan menemukan empat pendebat yang proroyalti dan anti-royalti(pro wang ihsan) iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz bersama Menteri Perdagangan Antarbangsa dan Industri Datuk Seri Mustapha Mohamed dan Naib Presiden II Pas, Salahudin Ayub bersama Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa.
Abdul Halim berkata, buat masa sekarang, pihaknya masih belum menerima persetujuan secara rasmi tetapi secara lisannya, kesemua pendebat sudah bersetuju untuk menjayakan program berkenaan.
”Kita berharap debat ini akan menyelesaikan segala isu berkaitan dan memastikan rakyat mendapat penjelasan serta menangkis kekeliruan dan penipuan yang merugikan rakyat,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan