Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, semua kaum haruslah bekerjasama untuk membawa perubahan besar yang diperlukan dalam landskap politik negara dan komitmen semua pihak dituntut.
Menurutnya, dengan melakukan perubahan segala isu sejagat yang mencengkam rakyat dan perlukan pembelaan seperti soal pendidikan, ekonomi dan sosial dapat ditangani sebaik mungkin termasuk segala pembaziran.
“Kita mahu tolak segala bentuk pembaziran yang dilakukan oleh mereka seperti kes kehilangan dua enjin jet pejuang F-5E milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), baru-baru ini nyata mengejutkan kita semua.
“Kita boleh lihat akibat kerakusan pihak tertentu, banyak pembangunan yang dijalankan menemui jalan kemusnahan seperti kejadian Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak yang runtuh, makmal komputer yang baru dibina tiga bulan menyembah bumi dan banyak lagi penyelewengan yang dilakukan, malah Laporan Audit Negara sendiri mendedahkan banyak penyelewengan berlaku,” katanya ketika berucap pada ceramah umum anjuran Pas Kawasan Batu Gajah.
Hadir sama, Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas Negeri (DPPN) Perak, Mohd Nur Amin; Ketua Penerangan DPPN Perak, Akmal Kamarudin dan Yang Dipertua Pas Kawasan Gopeng yang juga bekas calon di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rapat, Ir Radzi Zainon.
Ibrahim berkata, keberanian dan kekuatan semua kaum ditunjukkan dengan kemenangan PR di beberapa negeri dalam pilihan raya 8 Mac lalu, diikuti pula dengan beberapa lagi kemenangan pilihan raya kecil di seluruh negara.
“Dalam hal ini, saya sarankan agar semua pihak dan pendokong Pas serta PR supaya memberi komitmen dan penerangan yang jelas kepada pelbagai kaum tentang perjuangan Pas yang tidak hanya tertumpu kepada satu bangsa semata-mata tetapi berasaskan kepada keadilan Islam kepada semua kaum di negara ini.
“Kelab penyokong banyak membantu menerangkan dasar kita yang dimanipulasikan oleh parti pemerintah sering kali melabelkan Pas dengan tohmahan dan menakutkan kaum lain dengan pelbagai isu,” katanya.
Katanya, diharap segala bibit prasangka antara kaum yang dicetuskan oleh pihak tidak bertanggungjawab dapat ditangkis dengan mudah melalui pelbagai siri pertemuan dan perbincangan bagi memastikan setiap pihak mendapat penjelasan sebenar.
“Allah SWT menjadikan manusia pelbagai bangsa untuk saling kenal-mengenal antara satu sama lain di samping belajar menghormati, bukannya bermusuh-musuhan.
“Sungguhpun diasak oleh parti pemerintah dan media mereka, kerjasama dan hubungan Pas dengan pelbagai kaum khususnya Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP bertambah erat dan kukuh,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan