Senarai Blog Saya

JOM FOLLOW | ...:::: BGM online ::::....

Isnin, 11 Januari 2010

Henti politik perkauman, elak perpecahan- Nga Kor Ming



IPOH - Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming semalam, menyifatkan tindakan membakar enam gereja dalam negara ini adalah tindakan sabotaj dan tidak bertamadun yang telah merosakkan imej negara.

Beliau menyatakan tingkah laku membakar gereja Katholik dan Kristian adalah akibat dari politik perkauman yang diapi-apikan oleh parti perkauman dan laporan media arus perdana yang bermotif politik.

“Rakyat Malaysia khususnya Muslim perlu bersatu padu menolak politik perkauman yang bahaya sebelum terlewat. Tindakan samseng begini juga telah menjatuhkan imej Islam yang suci,” katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Kor Ming berkata, merujuk kepada peristiwa pembakaran gereja St Lois dan St Teresa di Taiping pagi ini (semalam), adalah yang terbaru berhubung isu kalimah Allah.

Katanya, sudah tiba masanya kerajaan insaf bahawa politik perkauman adalah punca kepada segala hasad dengki dan perpecahan masyarakat dalam tanah air.

“Saya menggesa semua rakyat bertenang dan pihak polis perlu mengambil tindakan segera untuk membendung gejala yang merbahaya ini. Berikutan peristiwa pembakaran gereja, Malaysia menjadi tajuk utama liputan media utama ia membawa kesan negatif kepada pembangunan ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan laporan ‘The Financial Times yang bertapak di London, kajian terbaru Bank UBS dari Switzeland menunjukkan sepanjang tahun 2009, Malaysia adalah negara yang mengalami penarikan pelaburan paling serius di benua Asia.

“Jika keadaan ini berterusan, ia akan menjatuhkan usaha untuk memulihkan ekonomi negara yang kini tenat dengan ledakan hutang negara bernilai RM360 bilion. Pendekatan terbaik dan terancang perlu diambil bagi memastikan negara kembali pada landasan sebenar serta meningkatkan semula pelaburan negara,” katanya.

Tiada ulasan: