Senarai Blog Saya

JOM FOLLOW | ...:::: BGM online ::::....

Khamis, 28 Januari 2010

UMNO punca ketegangan: TG Nik Aziz






KOTA BHARU - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan ketegangan yang berlaku di negara ini termasuk insiden kepala babi yang dilontarkan di dua masjid di Petaling Jaya semalam sebagai kesilapan besar yang dilakukan UMNO.

Nik Abdul Aziz berkata, perkara itu berlaku disebabkan tindakan UMNO yang mengasingkan politik dan agama sehingga membuatkan generasi muda pada masa kini hilang rasa hormat kepada agama sendiri.

“Saya sebut terang-terang UMNO bertanggungjawab merubah kehormatan agama dalam hati rakyat Islam sendiri. Orang Islam sendiri yang sepatutnya hormat kepada agama tetapi bila UMNO buang agama daripada urusan hidup maka orang Melayu khasnya golongan muda terasa bahawa agama ini hanya satu dua perkara sahaja.

“Yang disebut sembahyang puasa, nikah kahwin, tengok anak bulan, itu sahaja. Akhir sekali orang Melayu sendiri iaitu generasi muda renggang daripada kesucian agama.

“Ini bahaya besar. Ini yang dipikul oleh UMNO dunia akhirat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas hadir pada Majlis Mahabah Kerajaan Negeri Kelantan bersama Ketua-ketua Agama Negeri Kelantan di sini, semalam.

Beliau berkata, UMNO sepatutnya membuang semangat kebangsaan dan mengambil semangat Islam.

“Yahudi membesar-besarkan Islam ini terrorist (penjenayah), Amerika membesar-besarkan Islam ini terrorist. Itu dia punya pasal. Tetapi Islam sendiri letak Islam ini aktiviti untuk Allah.

“Jadi apabila aktiviti hidup ini untuk Allah, macam mana kita nak asingkan agama daripada kegiatan hidup. Ini kesilapan UMNO di sini. Semua ini berpunca daripada Islam di dalam dasar hidup. Maka ada hidup yang berdasarkan Islam dan ada yang tidak berdasarkan Islam. Ini masalah besar,” katanya.

Terdahulu beliau meraikan lebih 300 ketua-ketua agama di se-luruh Malaysia pada majlis tersebut.

Mengulas mengenai majlis itu, Nik Abdul aziz berkata, beliau bersyukur kepada Allah kerana sebagai ketua kerajaan dapat menyelesaikan masalah iaitu satu perkara yang sangat-sangat perlu iaitu menghimpun semua ketua kumpulan agama di Kelantan khasnya.

“Yang datang hari ini bukan sahaja daripada Kelantan tetapi juga dari seluruh Malaysia dari Sabah, Sarawak dan seluruh Malaysia yang diwakili oleh biskop masing-masing. Kita ada agama dan kita ada parti politik.

“Parti politik adalah buatan manusia, baik Pas, UMNO atau apa sahaja parti ini buatan manusia. Orang Melayu yang sudah beragama Islam sepatutnya tak payah lagi mengadakan parti politik kerana Islam itu sendiri pun sudah jadi jemaah parti politik,” katanya.

Menurutnya, politik Islam lebih luas daripada politik yang kita tulis dalam perlembagaan negara kita.

“Politik Islam meluas sampai hubungan kita dengan Allah dan hubungan kita dengan manusia di muka bumi. Hal ekonomi, akidah, budaya dan sosial sudah ada dalam Islam.

“Sepatutnya kita sudah tidak perlu ada parti politik tetapi disebabkan keadaan tertentu di negeri kita ini diwajibkan orang yang bercakap dengan politik perlu mewakili parti tertentu, maka mahu tak mahu Pas diwujudkan sebagai parti politik sejak tahun 1961 sampai sekarang,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, majlis yang dianjurkan itu adalah salah satu usaha bagi meneruskan kefahaman, persaudaraan, kesejahteraan, keamanan dan kedamaian adalah satu daripada cabang kerja-kerja Islam.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai pergolakan yang berlaku di antara parti gabungan Pakatan Rakyat (PR), Nik Abdul Aziz berkata, Pas menyertai PR sebagai seorang pejuang Islam dan akan meneruskan perjuangan itu.

“Kami masuk sebagai seorang pejuang Islam itu sahaja dulu. Kalau PKR itu dia punya fasal. Insya-Allah bila Pas ada bersama, Pas ini sebagai orang tua,” katanya.

2 ulasan:

azman kamarul berkata...

TAKBIR!!!!!!

Ampatuan Jr berkata...

Betul kata TGNA, UMNO lah punca segala masaalah di dunia ni. Takbir!!!