Senarai Blog Saya

JOM FOLLOW | ...:::: BGM online ::::....

Rabu, 27 Januari 2010

Kaji semua nilai wang ihsan - Husam

http://zainulfaqar.files.wordpress.com/2009/12/husam-musa.jpg

KOTA BHARU - Kerajaan Pas Kelantan tidak berpuas hati dengan pemberian wang ihsan RM20 juta dan meminta Kerajaan Pusat menilai semula jumlah pemberian itu.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa berkata nilai yang sewajarnya diterima negeri itu, berdasarkan pertemuan dengan pihak Petronas awal bulan ini, adalah RM40 juta dan bukannya RM20 juta seperti yang diumumkan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, semalam.

Beliau, yang juga Pesuruhjaya PAS II Kelantan, berkata kenyataan Mustapa itu lebih bersifat politik kerana perbincangannya dengan Pengerusi Petronas, Tan Sri Mohd Hassan Merican pada 8 Jan lalu, bahawa RM40 juta itu tidak termasuk tuntutan di kawasan telaga bintang yang bertindih dengan kawasan perairan Terengganu-Kelantan yang menjadikan jumlah tuntutan lebih tinggi.

“Pendirian Kerajaan Negeri tetap tidak menerima keputusan itu kerana menyifatkan ia kenyataan politik. Kami mahu mendengar kenyataan rasmi dari Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) sendiri,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Exco, di sini semalam.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Mustapa yang mengumumkan Kerajaan Persekutuan memutuskan untuk membayar sebanyak RM20 juta wang ihsan kepada Kelantan pada Mac ini yang merupakan nilai lima peratus daripada jumlah keseluruhan hasil cari gali petroleum diperoleh sejak Mei 2008.

Kelantan tahun lalu mengemukakan tuntutan royalti berjumlah RM2 bilion terhadap operasi cari gali di perairannya kepada pusat dan berhasrat untuk mengambil tindakan mahkamah.

Bagaimanapun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan Kerajaan Pusat akan memberikan wang ihsan, menggantikan bayaran royalti minyak, kepada kerajaan Kelantan mulai tahun ini bagi hasil pengeluaran minyak di luar pesisir pantai negeri itu.

Kerajaan Kelantan didapati tidak berhak mendapat royalti minyak kerana dua telaga minyak yang dipertikaikan itu terletak di kawasan 150 batu nautika dari perairan negeri itu.

Husam berkata, Kerajaan Negeri akan terus memperjuangkan haknya dalam tuntutan royalti minyak itu walaupun pusat menggantikannya kepada wang ihsan.- BERNAMA

Tiada ulasan: