Senarai Blog Saya

JOM FOLLOW | ...:::: BGM online ::::....

Isnin, 18 Januari 2010

Bantu rakyat jangan ada agenda politik

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEi4l8CzXFoO4f6mTtqU17svMGpdd0SsjXNKOSp0vlmXHQMB6CGqgQ7Lfb0GSC7g4ghC7Xxnm1PdChpF8CdEb96RlVAvTNM39tOeHLh7KGW7D3Rx6bQ1XOvELGqaqFi_a9TIQrKgyiaMEOY/s259/RADZI+BIN+ZAINON.jpg


LAHAT – Sikap sesetengah individu atau parti politik yang suka bersaing dalam membantu rakyat dengan niat menunjukkan kehebatan dan menjatuhkan parti lawan wajar dielakkan.

Ahli Parlimen Gopeng, Dr Lee Boon Chye berkata, usaha untuk membantu meringankan beban rakyat tanpa mengira bangsa dan agama adalah tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh pemimpin di semua peringkat.

Menurutnya, dalam konteks membantu dan menyalurkan bantuan kepada yang memerlukan, semua pihak seharusnya tidak melihat bantuan berkenaan dalam bentuk saingan kepada lawan parti.

“Apabila kita hendak selesaikan masalah rakyat, jangan kita campur adukkan urusan berkenaan dengan politik kerana ia tidak bersangkut paut.

“Dalam negara maju, parti pemerintah dan pembangkang boleh bekerjasama dalam usaha membantu rakyat, namun di Malaysia, apabila kita hendak buat sesuatu mereka berasa cemburu malah mencari jalan untuk mensabotaj serta ia lebih kepada kepentingan politik. Ia bukan sikap yang positif dalam usaha menyelesaikan masalah rakyat,” katanya kepada Sinar Harian pada majlis penyerahan kunci rumah kepada salah seorang penerima bantuan Pakatan Rakyat di Kampung Seri Rahmat.

Boon Chye berkata demikian sebagai mengulas perkara yang timbul semasa menyiapkan rumah bantuan berkenaan apabila ada pihak yang sanggup menawarkan untuk membeli projek membuat rumah itu yang sudah siap 85 peratus.

Sementara itu, bekas calon Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rapat, Ir Radzi Zainon berkata, pihak berkenaan tidak seharusnya bersikap mengambil kesempatan dalam usaha membantu rakyat.

“Seharusnya mereka mengerti apa yang dinamakan dengan urusan membantu rakyat dan ia adalah tanggungjawab kedua-dua pihak terutama bagi mereka yang mempunyai peruntukan di peringkat negeri dan pusat.

“Sepatutnya pihak berkenaan menghulurkan bantuan agar rumah yang dibina untuk warga emas atau mesra dengan panggilan ‘Pak Andak’ ini dapat diselesaikan dan berkemungkinan lebih besar serta bukannya menawarkan diri untuk membeli rumah berkenaan setelah hampir siap,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut mempersoalkan ke mana perginya peruntukan untuk Ahli Parlimen terutamanya dari parti pembangkang bagi membangunkan kawasan.

“Kita persoalkan ke mana peruntukan yang sepatutnya diberikan kepada Ahli Parlimen sebanyak RM1 juta untuk projek pembangunan Parlimen yang tidak diberikan kepada Ahli Parlimen pembangkang.

“Jika peruntukan berkenaan diberikan kepada setiap Ahli Parlimen, mustahil rumah untuk rakyat tidak boleh dibuat dan sebenarnya kita tidak ketahui apa sebenarnya yang berlaku di peringkat sana, namun bagi pihak kami, kita akan teruskan agenda membantu rakyat,” katanya.

Beliau berharap perkara berkenaan tidak berulang lagi khususnya di peringkat komuniti masyarakat itu sendiri agar masalah berbangkit dapat diselesaikan dengan baik.

Tiada ulasan: