Senarai Blog Saya

JOM FOLLOW | ...:::: BGM online ::::....

Ahad, 14 Mac 2010

Bekas Exco cabar Exco kemuka bukti bil tertunggak



IPOH – Kerajaan Negeri Barisan Nasional (BN) dilihat sengaja mengaitkan isu tunggakan 11 bulan bil air dan elektrik 60 dewan serba guna dan dewan orang ramai seluruh Perak semasa era pemerintahan Kerajaan Pakatan Rakyat (PR).

Bekas Exco Kewangan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Tenaga, Air dan Hal Ehwal Bukan Islam, Datuk Ngeh Koo Ham mempersoalkan motif sebenar Kerajaan Negeri mendedahkan tunggakan bil berkenaan sedangkan sepanjang 11 bulan PR memerintah tidak pernah menerima apa-apa aduan atau notis daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Lembaga Air Perak (LAP) berhubung pemotongan kerana gagal menjelaskan bayaran.

Menurutnya, sepanjang tempoh itu juga, Kerajaan PR telah berjaya membawa hasil tambahan RM100.4 juta kepada sumber kewangan negara pada tahun 2008, malah tidak timbul langsung permasalahan tunggakan sebagaimana dinyatakan.

“Saya mencabar Datuk Ramly Zahari sebagai Exco yang bertanggungjawab dalam portfolio ini memberikan butiran yang sahih dan jelas berdasarkan kenyataan yang dikeluarkannya.

“Jika beliau (Ramly) merujuk kepada 11 bulan tunggakan semasa pemerintahan PR, bagaimana pula yang berlaku pada 13 bulan terakhir ketika BN mengambilalih negeri, seharusnya perlu dinyatakan dengan jelas kepada rakyat,” katanya melalui kenyataan bertulis kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Beliau berkata, kenapa isu ini boleh timbul sedangkan PR telah memberi hasil pendapatan tambahan kepada negeri dan negara pada ketika itu.

“Apa yang saya nampak beliau mempunyai agenda tertentu ataupun boleh disifatkan sebagai bermotifkan politik untuk mengaburi mata rakyat tentang keburukan PR.

“Apa saja yang kami (PR) atau BN buat, biarlah rakyat tahu dan hanya rakyat menilai pihak mana betul dan pihak mana salah,” katanya.

Tiada ulasan: