Senarai Blog Saya

JOM FOLLOW | ...:::: BGM online ::::....

Rabu, 20 April 2011

TG Hadi - Saya sedia ditentang


KUALA LUMPUR, 21 APRIL : Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bersedia untuk ditentang pada pemilihan pusat Jun depan.

Hadi berkata beliau amat mengalu- alukan kehadiran pelapis baru yang berkelayakan bagi menggantikannya berikutan beliau bukan selamanya mahu menjadi pemimpin parti itu.

“Jika ada pencalonan diterima pemimpin lain untuk menentang (saya), saya sendiri amat mengalu-alukannya kerana saya bukan mahu menjadi pemimpin selamanya.

“Saya sendiri sudah berumur dan memerlukan barisan pelapis,” kata beliau dipetik media.

Hadi berkata PAS turut mengalu-alukan pertandingan sebarang jawatan untuk membuktikan keterbukaan parti dalam soal pemilihan pemimpin.

Sehubungan itu, Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata pemimpin, ahli dan penyokong perlu menyambut baik sebarang pencalonan daripada pemimpin PAS untuk jawatan tertentu.

PAS Bukit Bintang di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mencalonkan Datuk Husam Musa iaitu ahli jawatankuasa kerja PAS pusat dan Exco Kerajaan Negeri Kelantan untuk bertanding jawatan presiden.

Hadi sebelum ini disifatkan penganalisis politik, Profesor Dr Abdul Aziz Bari, sebagai liabiliti kepada parti itu.

Dr Aziz, yang lazimnya memberi pandangan terbuka mengenai PAS dipetik sebagai berkata, kepimpinan parti Islam itu perlu berubah dalam menyesuaikan parti itu dalam arena politik kini.

Pendirian lantang beliau ini dikeluarkan ketika parti Islam berusia lebih enam dekad ini sedang bersiap sedia untuk mengadakan pemilihan pusat Jun ini.

Dalam pada itu, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mempertahankan Hadi dengan berkata, PAS tidak perlu mengubah pemimpin hanya kerana kekalahan dalam pilihan raya termasuk ekoran kegagalan memperoleh kerusi di Sarawak minggu lalu.

Sambil menegaskan tindakan menukar pemimpin hanya kerana pilihan raya sebagai “langkah kurang tepat”, Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, seseorang pemimpin perlu ditukar hanya apabila pemimpin itu melanggar syariat.

Beliau kemudiannya berkata PAS mempunyai kaedah-kaedah yang tersendiri untuk memilih pemimpin.

Tiada ulasan: