“Kita telah buktikan cara kita yang tak pernah tipu rakyat. Perjuangan kita adalah perjuangan rakyat,” kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada Pelancaran Jentera Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Menurutnya, Kerajaan Negeri di bawah Pakatan Rakyat (PR) sentiasa berjuang untuk membawa perubahan dalam pemerintahannya.
Beliau juga mengharapkan segala perubahan dan cara baru yang dibawa PR diterima rakyat seterusnya diterjemahkan dalam pilihan raya kecil (PRK) Parlimen ini pada 25 April ini.
“Saya berjanji akan buat kerja. Membalas budi rakyat dengan bekerja. Harapan saya supaya rakyat juga bekerja dengan saya,” katanya.
Menurutnya, selama lebih 700 hari memegang tanggungjawab dan amanah sebagai Menteri Besar, telah banyak kejayaan yang telah dilaksanakan.
“Kita telah laksanakan kerja dengan membanteras rasuah dan salah guna kuasa yang pernah diamalkan pemerintahan kerajaan terdahulu.
“Saya yakin rakyat akan terima kita sebab kita ada perjuangan dan kita tak ada jual maruah kita,” katanya.
Khalid berkata, selama dua tahun mentadbir negeri Selangor sudah banyak perubahan dilakukan dan segala yang dilaksanakan adalah bukti kesungguhan PR dalam membawa perubahan dalam pemerintahan.
Menurutnya, selama ini, harta rakyat di Selangor telah dimonopoli oleh segolongan pemimpin yang sanggup menggadai maruah mereka untuk kepentingan peribadi.
Tetapi, berbeza dengan pemerintahan kerajaan PR, Selangor kini kian bebas dengan segala bentuk rasuah dan salah guna kuasa.
Malah katanya, usaha Kerajaan Negeri dalam merakyatkan ekonomi Selangor juga menampakkan kejayaan.
Pelancaran itu turut dihadiri Pengarah Pilihan Raya PKR, Fuziah Salleh, Anggota Parlimen Kepong, Dr Tan Seng Giaw dan Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa.
Hadir sama, Exco Kerajaan Negeri, Dr Xavier Jayakumar, Dr Mohd Hassan Ali dan Elizebeth Wong.
Terdahulu, Xavier dalam ucapannya berkata, Kerajaan Negeri kini berusaha dalam mengatasi permasalahan utama dihadapi rakyat di Hulu Selangor iaitu masalah pemilikan tanah.
Menurutnya, dalam tempoh dua tahun sudah banyak yang telah diselesaikan dan menjadi komitmen Kerajaan Negeri dalam menyelesaikan keseluruhan masalah itu.
“Misi kita adalah selamatkan Malaysia dan Hulu Selangor. Masalah tanah dan rumah di daerah ini sudah 50 tahun dialami.
“Kita akan selesaikan masalah ini dan dalam tempoh sehingga hujung tahun ini kita akan selesaikan masalah tanah yang dialami 1,100 penduduk di daerah ini,” katanya.
Menurutnya, dengan misi memperjuangkan masalah itu, beliau berkeyakinan PR akan meraih kemenangan pada PRK kelak.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang, Gan Pei Nei berkata, PR mempunyai ramai penyokong di seluruh negara tetapi disebabkan kurangnya pendedahan atau penyebaran mesej mengenai perjuangan dilakukan menyebabkan rakyat tidak tahu kerja yang dilakukan.
Menurutnya, perkara itu timbul apabila semua media arus perdana telah dikongkong oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sehinggakan mesej dan pelaksanaan tugas PR disekat daripada pengetahuan rakyat.
“Sokongan rakyat ada tapi informasi tak ada. Mereka mahu tahu apa yang kita telah laksanakan.
“Justeru, kita perlu kerja keras. Kalau boleh buat ceramah kelompok di kedai-kedai, rumah-rumah dan sebagainya untuk perjelas pada rakyat,” katanya.
sinar harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan