Dr Xavier Jayakumar
SHAH ALAM – Kerajaan disaran menerapkan pendidikan seks sebagai salah satu mata pelajaran di sekolah dalam usaha membendung gejala sosial dan pembuangan bayi yang semakin membimbangkan.Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar berkata, pendidikan seks dalam kalangan remaja tidak seharusnya disekat dan pendedahan awal dapat membantu remaja mengawal diri masing-masing.
“Pendedahan tentang seks yang begitu meluas di internet menyebabkan remaja tidak sedar mengenai kesan-kesan seks ke atas diri mereka.
“Pendidikan seks di sekolah sebenarnya dapat membantu remaja mempelajari seks dengan cara yang betul serta risiko yang perlu ditanggung sekiranya melakukan seks luar nikah,” katanya dalam kenyataan akhbarnya kepada Sinar Harian.
Xavier berkata, pendidikan seks di sekolah ini juga perlu melibatkan golongan lelaki agar mereka lebih bertanggungjawab terhadap tindakan yang dilakukan dan menghormati golongan wanita yang sering menjadi mangsa seks.
“Terdapat banyak kejadian pembuangan bayi dan gejala sosial berlaku disebabkan oleh remaja perempuan dipaksa melakukan hubungan seks oleh pasangan masing-masing.
“Jadi, saya berpendapat pendidikan ini dapat membantu mengajar remaja lelaki agar prihatin terhadap hak wanita dan mengawal tingkah laku mereka,” katanya.
Xavier yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Andalas berkata, gejala pembuangan bayi perlu ditangani dengan pendekatan holistik melibatkan semua pihak dan tidak menyalahkan pihak yang terlibat sepenuhnya.
Dalam pada itu katanya, gejala pembuangan bayi adalah berpunca daripada perasaan takut dalam kalangan wanita hamil luar nikah kerana bimbang mereka akan dihukum oleh keluarga dan masyarakat akibat perbuatan mereka.
“Kita tidak seharusnya menggelar mereka sebagai orang yang kejam dan menyifatkan ibu yang membuang anak mereka sebagai tidak bermoral.
“Keadaan ini sebenarnya disebabkan kebimbangan mereka mengenai penerimaan masyarakat dan keluarga terhadap mereka dan anak yang di kandung,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan