Senarai Blog Saya

JOM FOLLOW | ...:::: BGM online ::::....

Khamis, 6 Januari 2011

PAS dan DAP tidak mungkin pecah

Penulis veteran, Haji Subky Latif yakin hubungan PAS dan DAP tidak akan putus walaupun usaha ke arah itu sedang diusahakan oleh musuh kedua-duanya.

Katanya, hubungan baik PAS dan DAP yang diasaskan oleh bekas pemangku Setiausaha Agung DAP, Mendiang Fan Yew Teng akan kekal selama-lamanya.

Subky berkata demikian ketika memberikan ucapan di majlis memperingati mendiang Fan Yew Teng di Dewan YMCA, Brickfield malam tadi.

Majlis itu dianjurkan oleh DAP dengan penasihatnya, Lim Kit Siang menjadi tuanrumahnya. Kira-kira 250 tetamu dari pelbagai kalangan menyertai majlis malam tadi.

Turut serta isteri beliau, Dr Noeleen Hayzel dan pasangan kembar anak mereka Lilianne Fan dan Pauline Fan. Dr Noeleen adalah Penolong Setiausaha Agung dan Setiausaha Eksekutif Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-bangasa Bersatu (PBB) untuk Asia dan Pasific.

Fan Yew Teng yang juga kolumnis kolumnis Harakah, meninggal dunia pada 7 Disember lepas di Bangkok selepas menderita cancer tulang dan prostat.

Menurut Subky, jasa paling besar yang ditinggalkan oleh Fan Yew Teng adalah sebagai penghubung PAS dengan masyarakat Cina di negara ini.

"Ketika PAS takutkan Umno dan DAP takutkan MCA, Fan Yew Teng lah yang menghubungkan PAS dengan orang-orang Cina di negara ini.

"Hasilnya, PAS dan DAP kini tak mungkin dipecahkan lagi dan ia bermula dari mendiang Fan Yew Teng," kata Subky dengan disambut tepukan gemuruh para hadirin.

AJK PAS Pusat, Muhamad Anuar Tahir yang turut berucap di majlis itu sebagai bekas Setiausaha Agung Abim memberitahu, Fan Yew Teng pernah menjadi kakitangan kontrak Abim di samping guru Bahasa Inggeris untuk ahli Abim.

(Gambar: Antara yang memenuhi dewan YMCA bagi memperingati Fan Yew Teng)

Mendiang juga pernah bersama-sama dengan beliau menggerakkan kempen anti Perancis apabila kerajaan negara itu mengharamkan pemakaian scaf untuk wanita Islam.

"Niat saya untuk membeli kereta jenis Citroen pada ketika itu terpaksa saya batalkan kerana kami sedang kempen anti Perancis dan apabila saya ditempelak oleh mendiang Fan.

"Hajat untuk memakai Citroen hanya dapat saya penuhi beberapa tahun kemudian...namun selepas kematian Fan, saya telah menjual kembali kereta itu kerana teringatkan beliau," cerita Anuar Tahir penuh imosi.

Seorang lagi bekas pemimpin Abim, Dr Mohamad Nor Manuty yang kini Ketua Penerangan PKR memberitahu, semasa beliau menjadi Presiden Abim, Fan Yew Teng dikenali sebagai Ustaz Fan.

"Bayangkan, apabila ada masa lapang di pejabat Abim, Fan ini sentiasa memenuhkannya dengan membaca al Quran dan terjemahannya.

"Semasa satu simposium tentang Profesor Dr Hamka di Indonesia, Fan turut membentangkan satu kertas kerja mengenai ulamak Islam tersohor ini. Saya diberitahu, kertas beliau antara yang terbaik mengenai Hamka," cerita Dr Mohamad Nor kepada para hadirin.

Ketika ditemui selepas majlis ini, Haji Subky memberitahu Harakahdaily, Fan Yew Teng dikatakan pernah diura-urakan mahu memeluk Islam.

"Saya melihat kalau tidak memeluk Islam pun, dia antara orang bukan Islam yang sangat kenal dan rapat dengan Islam," katanya lagi.

Di samping mereka, turut berucap di majlis itu adalahLim Kit Siang, Lim Guan Eng, Karpal Singh, isterinya Dr Noeleen dan anaknya Lilianne serta adiknya Farn Seong Than di samping ramai lagi pemimpin politik dan NGO yang rapat dengan beliau.

Tiada ulasan: