Senarai Blog Saya

JOM FOLLOW | ...:::: BGM online ::::....

Rabu, 26 Mei 2010

DSAI- Melayu Tak Cukup Didampingi

Dato' Seri Anwar Ibrahim

Pakatan Rakyat tidak harus rasa selamat dengan undi Cina, justeru mengambil mudah sokongan orang Melayu bagi memenangi pilihan raya umum yang akan datang, kata Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, tambahnya, gabungan pembangkang – PKR, PAS dan DAP – tidak perlu mengambil langkah drastik bagi mendapatkan kembali sokongan Melayu, sebaliknya hanya memerlukan sedikit “penyelarasan”.

“Pada tahun 1999, lonjakan undi Melayu tinggi. Saya baca analisis, mereka tulis di kampung, konservertif, (golongan) Melayu sokong Umno.

“Itu jelas ‘memori jangka pendek’, sebab pada tahun 1999 orang Umno boleh berubah kerana maklumat itu sampai. Sekarang kita tengok kelemahan kita sebab maklumat tak sampai,” kata Anwar yang juga ketua umum PKR.

Dalam wawancara dengan Malaysiakini semalam, Anwar berkata pihaknya tidak perlu lagi menghabiskan masa dengan mendakwa bahawa pilihan raya di Malaysia dicemari rasuah dan tekanan daripada Umno sebab “itu sudah diketahui”.

Menyentuh soal ‘kemerosotan’ undi Melayu di Hulu Selangor pada 25 April lalu apabila PKR tewas kepada BN, Anwar berkata keputusan itu tidak terlalu membimbangkan.

“Kalau itu keputusan pilihan raya kecil, dalam pilihanraya umum kita menang,” katanya yakin.

Pekerjaan, ekonomi, ‘maruah sebagai umat’

Beliau menambah, kecuali di dua kawasan Felda – Sungai Buaya dan Sungai Tengi – undi Melayu secara keseluruhannya meningkat.

Corak yang sama menurutnya turut dikenalpasti dalam pilihan raya kecil Sibu pada 16 Mei apabila undi Melayu/Melanau meningkat daripada 13 peratus kepada 35 peratus dalam tempoh berkempen dua minggu sahaja.

“Maknanya kita harus terima kenyataan, kita belum cukup kuat usaha mendampingi mereka.

“Kita tertumpu pada bandar pinggir dan bandar isu yang disenangi oleh orang bandar. Kita harus tahu juga ada isu desa yang harus diketengahkan,” katanya.

Tambahnya, isu tersebut antaranya soal peluang pekerjaan, ekonomi dan “maruah sebagai umat” yang perlu ditangani.

Sementara itu, menyentuh hasrat Pakatan menembusi Sabah dan Sarawak, Anwar berkata kemenangan di Sibu membuka langkah yang besar kepada gabungan pembankang di kedua buah negeri itu.

“Sekarang menjadi tugas timbalan perdana menteri turun padang, perdana menteri turun tiga, empat hari. Ini mesej bahawa mereka (BN) hilang sokongan dan (terpaksa) guna pelbagai helah dan ancaman untuk mendapatkan kerusi.

Peluang: Saya tidak tahu

“Kita sudah melangkah dengan besar di Sibu. Jadi, kita kena kerja kuat,” katanya yang juga ahli parlimen Permatang Pauh.

Anwar berkata, sepanjang lebih seminggu berkempen di negeri Kenyalang baru-baru ini, beliau melihat pemimpin Pakatan di peringkat negeri daripada parti yang berbeza bekerjasama dengan baik mengetengahkan isu-isu tempatan.

“Saya optimis lihat pengalaman mereka bekerjasama di Sarawak. Mereka buat dengan baik.

“Saya bukan maksudkan (pemimpin kanan Pakatan) Ustaz (Datuk Seri) Hadi (Awang), Lim Kit Siang dan (Datuk Seri) Wan Azizah (Ismail), saya cakap tentang (pemimpin) peringkat negeri,” katanya.

Enggan memberitahu sasaran kerusi yang diletakkan di negeri itu, Anwar juga kelihatan tidak mahu bercakap banyak tentang peluangnya kali ini.

“Saya tak tahu. Tetapi kita lihat orang Iban, Melayu/Melanau dan Cina kita ada anjakan besar. Lagi pun sepanjang perjalanan politik saya, saya tak beritahu berapa kerusi yang akan diperoleh.

“Dekat dengan pilihan raya nanti saya beritahulah, walaupun kamu semua tak percaya apa yang saya katakan pada 2008,” katanya sambil ketawa.

Tiada ulasan: