KOTA BARU, 30 Mei — Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu “membetulkan rumah tangganya” jika komponen Pakatan Rakyat itu mahu mencapai sasaran menawan Putrajaya dalam pilihan raya umum ke-13.
Perwakilan dari Melaka Rahim Ali melontarkan nasihat ini kepada pucuk kepimpinan parti itu dan ahli-ahlinya ketika tumpuan perbahasan Kongres Nasional Keenamnya di sini memfokus usaha Pakatan Rakyat yang mahu menawan Putrajaya.
“Ini adalah kenyataan sebenar... jangan tersinggug jika saya mengatakan perkara yang benar,” kata beliau sambil awal-awal lagi mengakui tidak akan menerima tepukan dengan memberi nasihat ini.
“Kita kata Selangor adalah asas kita hendak ke Putrajaya, masing-masing berhajat untuk (ke Putrajaya)... bolehkah kita boleh sampai di sana?” kata beliau dengan merujuk kepada kelemahan dan kekurangan yang wujud dalam urus tadbir di semua peringkat PKR — pusat, negeri, cabang (bahagian) dan ranting (cawangan).
Beliau juga menitikberatkan kelemahan dan kekurangan pentadbiran kerajaan negeri Selangor.
“Parti perlu meneruskan urus tadbir yang baik. Ini kena dijaga sehingga pilihan raya umum ke-13,” katanya.
Sebagai contoh menurut Rahim, banyak perwakilan menyentuh soal keperluan memenuhi kuota penyertaan 30 peratus wanita dalam setiap peringkat parti.
“Tetapi adakah kita mencapai 30 peratus perwakilan wanita di setiap peringkat. Misalnya, di satu-satu cabang, jika keahlian sekitar 15,000 orang, adakah ada 30 peratus keahlian membabitkan wanita.... kalau 30 peratus, berapa jumlah keahlian wanita?” soal beliau.
“Saya rasa masalah ini juga dihadapi di negeri-negeri lain,” katanya.
“Kita telus... oleh kerana kita telus, kita kena cakap perkara yang sebenarnya. Kita baiki dulu rumah (tangga) kita sebelum kita menyerang parti lawan,” katanya.
PKR tidak memenangi sebarang kerusi di Melaka pada pilihan raya umum lalu. Daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), DAP salah satu komponen Pakatan Rakyat, mempunyai lima kerusi.
Dalam perbahasannya, Rahim juga mengkritik pengurusan AMK di negeri itu kerana penyertaan pemimpin sayap pemuda PKR itu masih belum memuaskan.
Katanya, ada pemimpin yang tidak menghadiri mesyuarat yang diadakan.
Rahim berpendapat sikap tersebut perlu diperbaiki jika mahu mencapai matlamat sasaran menawan Putrajaya.
Selain itu beliau juga menimbulkan kegagalan PKR untuk mempertahankan kerusi Parlimen Hulu Selangor.
“Kita sudah perintah Selangor, kita sudah ada asas kewangan, kita sudah dua tahun memerintah, tetapi kita kalah di Hulu Selangor.
“Kita perlu tanya soalan, walaupun kita tahu BN beli undi di Sungai Buaya, kita boleh menang jika mempunyai jentera yang mantap,” katanya lagi.
Ucapan perbahasannya juga menyentuh keperluan mendisiplinkan ahli dan pemimpin sebagai satu lagi persiapan menghala ke arah Putrajaya.
Dalam pada itu, seorang lagi perwakilan, Nordin Ismail pula mempersoalkan penggunaan istilah “menawan” Putrajaya dengan merujuk kepada cerita “gajah dan sang kancil.”
Sambil menjelaskan istilah “menawan” merujuk kepada usaha membebaskan rakyat daripada “pentadbiran zalim” Umno-BN, Nordin berkata, istilah tersebut perlu digunakan dengan berhati-hati supaya tidak digunakan oleh “musuh untuk menakutkan” rakyat dan pelabur.
“Pada tahun 1999, Terengganu dapat ditawan (oleh PAS) dengan Umno tinggal empat kerusi, ada orang kata bahawa jikapun kucing bertanduk, Umno tidak boleh ambil alih (balik) Terengganu,” katanya,
Bagaimanapun Umno-BN mengambil alih negeri itu pada pilihan raya umum 2004.
“Tetapi tidak mustahil ia tidak boleh berlaku di Selangor, saya cuma hendak memberi peringatan,” kata beliau sambil menambah, Pakatan Rakyat perlu meletakkan calon yang membawa identiti perikatan itu dengan manifesto bersama.
“PAS dan PKR perlu mempunyai manifesto bersama untuk memikat semula pengundi-pengundi yang pernah menyokong gerakan reformasi pada tahun 1999,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan