SELEPAS 8 tahun Almarhum Ustaz Fadzil Noor  meninggal, Jun 2002, Jun 2010  Ustaz Shukri pula  meninggal.
Memperingati lapan tahun Presiden  PAS kembali menemui Tuhannya, PAS  Kawasan Permatang Pauh menganjurkan  majlis memperingati perjuangan  pemimpin besar ulama negara dasawarsa  90an dan 2000.
Saya diberi penghormatan untuk meriwayatkan  beberapa perkara penting  dalam sejarah dan kehidupannya sepanjang lebih  60 tahun itu.
Bagi saya beliau dilahirkan bagi menjadi pemimpin  Islam yang tabah,  berhati-hati, teliti, berpandangan jauh dan berfikiran  tajam serta  penyabar.
Setelah menamatkan ijazah sarjana mudanya  di Universiti Azhar, Ustaz  Fadzil telah mendaftar untuk melanjutkan  pelajaran ijazah sarjana.  Ketika itu pemimpin Kedah Datuk Abu Bakar  Umar, yang berkunjung ke  Mesir mencadangkan kepada beliau agar menangguh  pengajian dan pulang ke  Kedah kerana PAS Kedah memerlukan pemimpin  pelapis dan bakat dan  ilmunya ada sudah memadai bagi memimpin PAS Kedah.
Kata  isterinya Kak Jah Ibrahim, Ustaz Fadzil menyambut pelawaan Datuk  Abu  Bakar Umar dan pulang. Tetapi keadaan menyebabkan cadangan untuk  bersama  memimpin PAS Kedah tertangguh. Beliau tidak segera menjadi  pemimpin.
Keadaan  menjadikannya seorang pensyarah jurusan Islam di Universiti  Teknologi  Malaysia yang membawanya jauh dari Kedah.
Sebagai pensyarah  universiti banyak pantang larang untuk bergiat dalam  politik, apa  lagilah dalam PAS yang menjadi penentang utama  UMNO.  Ruang tidak  mengizinkannya untuk bergiat cergas dalam PAS, tetapi ruang  yang terbuka  dalam dakwah ialah dalam Abim. Di sinilah bakat  pimpinannya terselah.
Walau pun tidak menjadi pemimpin utama Abim tetapi beliaulah  penasihat  utama Anwar Ibrahim yang memimpin Abim yang kepimpinannya  terserlah ke  seluruh alam.
Dari Abim inilah UMNO menonjolkan  bakatnya untuk menjadi pemimpin PAS  dari hujung tahun 70an hingga awal  tahun 2000. Bukan kerana UMNO sayang  kepadanya mahu beliau menjadi parti  seterunya, tetapi dera yang UMNO  kenakan kepadanya menyebabkan beliau  menjadi pemimpin PAS dan menjadi  penentang utama politik UMNO.
Banyak  pantang larang berpolitik bagi pensyarah. Larangan itu  menyebabkan para  pensyarah Islam yang memimpin berundur dari pimpinan  kerana dikehendaki  menumpukan tugas di universiti saja. Pantang larang  inilah yang  menghalang Ustaz Fadzil untuk bergerak cergas.
Tetapi dalam  pilihan raya umum 1978, beliau bertanding sebagai calon  PAS bagi kawasan  Parlimen Kuala Kedah dan kalah. Tindakannya itu  bertentangan dengan  kemahuan UMNO. Dengan pengaruh yang ada pada UMNO,  UTM memecatnya.
Jika  beliau diberi amaran saja, mungkin beliau akan mematuhi larangan   berpolitik seperti lain-lain penyarah yang meninggalkan pimpinan PAS   untuk memberi penuh masa mengajar universiti. Bukan senang bagi   seseorang untuk meninggalkan   gaji besar di universiti semata-mata   untuk berpolitik yang tiada janji berjaya.
Tetapi UTM memilih  untuk memecatnya. Beliau yang biasa bergaji besar  tiba-tiba jadi  penganggur. Bagi mengisi masa menganggur inilah Ustaz  Fadzil diberi  sebuah bilik di Pejabat Agung PAS dan menggunakan sepenuh  masanya untuk  menjelajah seluruh negara berceramah di pentas PAS.
Keperluan  hidup Ustaz Fadzil ditanggung oleh kawasan-kawasan PAS yang   mengundangnya berceramah dan bantuan rakan-rakannya.
Ketika yang  sama beliau memfailkan saman kepada UTM atas pemecatannya.  Beberapa  tahun kemudian beliau memenangi perbicaraannya dan disambung  semula  perkhidmatannya. Mahkamah memerintahkan dibayar gajinya selama  tempoh  penganggurannya.
Ustaz Fadzil yang sudah sekian lama merasa  bebas, terasa terikat   apabila terpaksa ke kampus semula. Tidak dapat  berceramah lagi.
Oleh kerana beliau sudah tahu bagaimana hendak  hidup tanpa gaji semasa  penganggurannya dulu, maka beliau tidak takut  untuk tidak bekerja  semula. Beliau berhenti dari universiti untuk  bergerak sepenuh masa  dalam politik.
Keadaan inilah membuka  jalan baginya untuk menjadi pemimpin. Bermula  dengan menjadi  jawatankuasa PAS Pusat yang dilantik, beliau menjadi  Naib Presiden,  Timbalan Presiden dan akhirnya menjadi Presiden dan  anggota Majlis Syura  Ulama.
Jika beliau tidak dipecat, saya tidak dapat membayangkan  beliau akan  meninggalkan tugasnya di universiti. Seperti lain-lain  pensyarah masa  mereka untuk terjun aktif dalam PAS ialah setelah  bersara. Orang  bersara adalah orang tua yang tenaga pun sudah tidak  kuat. Sudah tidak  banyak masa dan tenaga yang dapat diberikan kepada  PAS.
Kerana Ustaz Fadzil dipecat dalam usia 40an, masih belia  yang  bertenaga, maka pengalaman itu mengajarnya untuk berdikari, maka  beliau  memanjat tangga pimpinan PAS dan terbukti beliau muncul sebagai   seorang pimpinan gerakan Islam yang disegani olah kawan dan lawan.
Di   zaman pimpinannya beliau membuka semula peranan Muslimat untuk  menjadi  calon. Dan peranan luas yang diisi oleh Muslimat sekarang  dimulai di  zamannya.
Beliau mengambil masa untuk mengadakan hubungan dengan  masyarakat bukan  Islam. Tetapi persetujuannya untuk membentuk CCC,  kumpulan komuniti  Cina untuk bekerjasama dengan PAS dalam tahun 1986,  membuka kerjasama  PAS dengan masyarakat bukan Islam dan muafakat dengan  DAP dan lain-lain  badan bukan Islam secara terbuka.
Ia adalah  antara peninggalan pimpinannya.
Kutipan Dana PRK P067 Kuala Kangsar
                      -
                    
Bersempena dengan pilihanraya kecil P067 Parlimen Kuala Kangsar yang akan 
berlangsung pada 5 Jun akan datang, sudilah kiranya tuan-puan dan puan-puan 
sek...
9 tahun yang lalu
 
 

 
 
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan