SHAH ALAM, 9 Feb: Kerajaan Negeri Selangor meluluskan tambahan elaun sebanyak RM300 sebulan kepada guru-guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa) yang bertugas di Sekolah Rendah Agama (SRA) dan Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI) di seluruh negeri.
Dengan tambahan elaun RM300 itu menjadikan elaun bulanan guru-guru Kafa di SRA dan SRAI Selangor sebanyak RM1,300 sebulan berkuatkuasa 1 Januari lalu.
Kelulusan untuk kenaikan elaun itu dibuat pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang diadakan hari ini.
Tambahan elaun ini melibatkan 3,935 guru Kafa yang mengajar di 208 SRA dan 11 buah SRAI seluruh negeri.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika mengumumkan perkara itu pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco berkata, kenaikan elaun bulanan itu akan melibatkan peruntukan tambahan kerajaan negeri lebih RM14 juta setahun.
Pada masa ini, guru Kafa di SRA dan SRAI di Selangor menerima elaun sepenuhnya dari kerajaan negeri dan Baitulmal sebanyak RM1,000 sebulan atau RM61 juta setahun.
“Kerajaan negeri berharap kenaikan elaun bulanan ini akan mendorong guru Kafa di SRA dan SRAI berusaha meningkatkan kualiti kerja seharian,” kata Khalid.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan