Jelas Arutchelvan, selama ini PSM bersetuju menggunakan logo PKR namun sudah sampai masa bagi parti bertanding menggunakan logo sendiri selepas 11 tahun diwujudkan.
“Pendirian kita sekarang adalah kita bersetuju menggunakan logo pembangkang dan telah ada satu perjanjian pilihan raya dengan Pakatan Rakyat selain bersetuju dengan manifesto Pakatan Rakyat.
“Tapi dalam situasi sekarang yang mana Pakatan Rakyat masih tiada logo sendiri, jadi setiap parti menggunakan logo mereka, jadi kami merasakan ia tiada masalah untuk membenarkan PSM menggunakan logo sendiri di kawasan yang kita tanding,” katanya dalam satu kenyataan.
PSM telah bertanding dengan menggunakan logo PKR pada pilihan raya 2004 dan 2008.
Arutchelvan berkata adalah satu tindakan “bodoh” sekiranya PSM yang telah memenangi dua kerusi pada pilihan raya umum 2008 tidak menggunakan logo sendiri selepas 11 tahun berjuang.
Pendaftaran parti itu diluluskan selepas pilihan raya umum Mac 2008.
“Sebelum parti kami didaftarkan, kami bertanding dengan menggunakan logo parti lain dan seperti mana yang dikatakan, PSM tidak belot terhadap Pakatan Rakyat seperti mana pemimpin PKR.
“Jadi ia satu perkara logik untuk PSM gunakan logo, ia kelihatan bodoh kepada parti yang tidak menggunakan logo sendiri selepas 11 tahun berjuang menentang kerajaan persekutan dan ia kelihatan tidak munasabah,” katanya.
Baru-baru ini Timbalan Presiden PKR Azmin Ali berkata, parti itu hanya akan mempertimbangkan calon-calon daripada kumpulan bukan Pakatan Rakyat sekiranya mereka bersedia menerima dasar-dasar perikatan itu.
Kata beliau, PKR terbuka kepada calon-calon yang dinamakan oleh pelbagai pertubuhan seperti Gerakan Kebebasan Sivil Malaysia (MCLM), malah sedia memberi PSM lebih banyak kerusi jika mereka bersedia untuk menerima arahan whip perikatan.
“Kita boleh berbincang dengan mereka. Tetapi jika mereka masih mahu menjadi bebas, apa gunanya?” kata Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak.
Jika dipilih, MCLM berkata, calon-calonnnya akan memutuskan isu berdasarkan pada suara hati mereka berbanding konsensus perikatan. Ia hanya akan menawarkan calon kepada PKR, bukan kepada DAP dan PAS.
Azmin yang juga pengarah pilihan raya berkata kepimpinan tertinggi PKR termasuk ketua umum mereka Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengadakan mesyuarat dengan PSM hujung minggu lalu untuk membincangkan peruntukan kerusi pilihan raya umum ke-13.
Dalam pilihan raya umum 2008, PSM meletakkan empat calon dan menang dua kerusi iaitu Michael Jeyakumar Devaraj yang menang di Sungai Siput untuk muncul Ahli Parlimen pertama PSM manakala presiden parti Dr Nasir Hashim pula menang di Kota Damansara, Selangor.
Tambah Arutchelvan, pihaknya tidak mempunyai rancangan untuk bertanding lebih banyak kerusi tetapi hanya mahu melihat Barisan Nasional (BN) tumbang pada pilihan raya umum nanti.
“Kami percaya calon terbaik patut dibenarkan bertanding, PSM tidak berniat untuk menuntut lebih banyak kerusi ... kami hanya mahu bertanding di beberapa kerusi yang kami rasakan boleh menang dan membantu Pakatan Rakyat di kawasan lain,” katanya.
Beliau berkata PSM akan meneruskan kerjasama dengan Pakatan Rakyat sebagai rakan dan memastikan BN disingkirkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan