Senarai Blog Saya

JOM FOLLOW | ...:::: BGM online ::::....

Khamis, 8 April 2010

Bebas tidak perlu bertanding

KLANG - Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, calon bebas tidak perlu bertanding pada pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor kerana mereka tidak mampu membawa pembangunan untuk rakyat.

Katanya, sejarah menunjukkan bahawa kebanyakan calon bebas yang bertanding pada pilihan raya kecil di negara ini hilang wang pertaruhan kerana gagal memperoleh sekurang-kurangnya satu per lapan daripada undi.

“Sebagai contoh, Parti Keadilan Rakyat (PKR) berdepan dengan 13 calon bebas pada pilihan raya kecil bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Bukit Selambau dan kesemua mereka telah hilang wang pertaruhan.

“Lebih baik calon bebas tidak bertanding pada mana-mana pilihan raya kecil di negara ini,” katanya.

Abdul Khalid yang juga Ketua Perhubungan PKR Selangor berkata, parti itu akan mengumumkan calon mereka minggu hadapan tetapi tarikh pengumuman masih belum ditetapkan.

“Kita belum tahu, saya ingat cadangan yang dinyatakan dalam minggu depan Pakatan Rakyat (PR) akan mengumumkan calonnya, saya tidak tahu tarikhnya lagi,” katanya.

Beliau juga meletakkan keyakinan yang tinggi bahawa PR akan berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Hulu Selangor yang sebelum ini dimenangi Allahyarham Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad selepas menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk G Palanivel pada pilihan raya umum yang lepas.

“Kita yakin sebab apabila kita turun ke sana, kita dapat rasakan rakyat bersama kita. Saya tidak fikir rakyat tidak bersama kita kerana banyak isu yang berpihak kepada kami,” katanya.

Beliau juga menafikan segala sumbangan dan bantuan Kerajaan Negeri kepada Hulu Selangor disebabkan pilihan raya kecil sebaliknya, sumbangan tersebut sentiasa berterusan sejak PR menawan negeri itu daripada BN pada pilihan raya umum lalu.
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjJdeQAbWVFjzoZQvF2_iik3EzIL-nCD1PCWu5gn9E3xHoGa2qvBRl_1FHhXAXuHNlYZZVDNlT4xEY7eqaCjcujtaTU-Trtneg3Xnbb_3tolwe1swsoF6bdh9kF12-m386XazIUmo493go/s400/MB+selangor.gif
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjJdeQAbWVFjzoZQvF2_iik3EzIL-nCD1PCWu5gn9E3xHoGa2qvBRl_1FHhXAXuHNlYZZVDNlT4xEY7eqaCjcujtaTU-Trtneg3Xnbb_3tolwe1swsoF6bdh9kF12-m386XazIUmo493go/s400/MB+selangor.gif

Tiada ulasan: