Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hassan berkata, tiada sebab bagi pihak berkuasa menghalang demonstrasi di tempat terbuka kerana penganjuran himpunan sebelum ini terbukti aman jka tiada gangguan polis.
"Pemuda memang tak bersetuju untuk (demonstrasi) buat di stadium. Kita bukan nak buat festival, bukan nak buat ekspo tapi kita nak buat himpunan yang berjalan untuk keadilan jadi kita akan bergerak dan tidak berkumpul setempat," katanya kepadaHarakahdaily.
Nasrudin mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein Hishammudin bahawa kementeriannya akan membawa usul demonstrasi tanpa permit di stadium ke jemaah menteri bagi mengelakkan penganjurannya oleh pihak-pihak tertentu daripada mengganggu keselamatan dan ketenteraman awam.
Kerajaan jangan ganggu
Ketua Pemuda PAS itu yang merujuk kepada beberapa siri demonstari aman sebelum ini berkata, keadaan menjadi huru-hara kerana pihak polis dan FRU menggunakan kekerasan dengan menyembur gas pemedih mata dan meriam air dengan alasan bagi 'meredakan keadaan'.
"Kita harap pihak kerajaan tidak mengganggu sebaliknya memberi kebenaran kepada rakyat dan kita jamin ia aman dan tidak menyumbang kepada apa-apa kerosakan sebab kita dah buktikan pada Bersih 1 dulu kita berjaya melakukannya cuma kita minta tak ada sebarang provokasi daripada polis dengan menggunakan water canon menyebabkan keadaan kucar kacir," katanya.
Tambahnya, hasrat rakyat untuk menunjukkan rasa marah dan tidak puas hati terhadap sesuatu perkara tidak akan tercapai sekiranya dibuat di tempat tertutup dan menyifatkan tunjuk perasaan sebagai satu 'seni halus' yang perlu ditangani secara halus juga.
"Konsep demonstrasi ialah tunjuk perasaan ertinya kita nak tunjuk kepada masyarakat apa yang kita bantah.
Ganas dibalas ganas
"Kalau buat tempat tertutup tak mencapai objektif dan kita bukan nak tunjuk kekerasan, 'gedebe' dan samseng tapi nak tunjuk persaan rakyat yang mahu keadilan dan ketelusan.
"Sebenarnya tunjuk perasaan seni halus yang perlu ditangani dengan lunak, bukan dengan jentera water cannon dan FRU sebab berkait dengan perasaan. Kalau tangani dengan ganas ia akan dibalas ganas juga," katanya.
Mengenai himpunan anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) 9 Julai ini, Nasrudin menyatakan komitmen seluruh pemuda untuk menyertai dan akan membantu menggerakkan rakyat untuk menuntut pilihan raya bersih dan adil.
"Kalau PAS kata akan turunkan 100,000 ahli, sekurang-kurangnya 50 peratus daripada jumlah itu ialah pemuda," katanya.
Himpunan yang bertemakan "Walk For Democracy", menurut Pengerusi Badan Penggerak Mobilisasi Demokrasi PAS Mohamad Sabu akan berlansung di Kuala Lumpur dan tempat yang spesifik akan diumumkan nanti.
"Tapi kalau buat di stadium kita tak mahu. Baik pergi tengok bola," katanya berseloroh.
malaysiakini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan