Senarai Blog Saya

JOM FOLLOW | ...:::: BGM online ::::....

Rabu, 23 Jun 2010

Tergamak menuduh TG Hadi Awang wahabbi

KUALA LUMPUR, 22 Jun: Di tengah-tengah cerita bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin bersama 100 ulama akan menyertai Umno Jumaat ini, beliau bersama rakannya, Dr Juanda Jaya yang kini Mufti Perlis menyifatkan BN bohong dalam mengaitkan mereka dengan kumpulan pengganas.

Dakwaan ini dibuat kedua-duanya dalam satu kenyataan bersama yang diberikan tajuk "Mengapa Kerajaan BN Berbohong?" bagi mengulas langkah kerajaan BN yang cuba mengaitkan isu ancaman pengganas di negara ini dengan mereka berdua.
(Gambar: Empat yang didakwa ada kaitan dengan Wahabi oleh ILIM, Shahidan, Asri, Juanda dan Abdul Hadi)

Sahibus Samahah Dr Juanda Jaya adalah Mufti Kerajaan Negeri Perlis, Ahli Fatwa Kebangsaan, kini Visiting Fellow Oxford Universiti Dr Mohd Asri Zainul Abidin pula adalah Bekas Mufti Perlis, Ahli Majlis Agama Islam Perlis dan kini Pensyarah Pengajian Islam USM.

Kedua-duanya mengulas laporan yang mengaitkan mereka berdua, Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang, bekas MB Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim dan JIM dengan pengganas.

Kaitan itu dibuat dalam satu taklimat keselamatan negara anjuran Polis dan diberikan oleh Zamihan Mat Zain dari Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) yang diadakan di Bukit Aman 21 Jun lalu.

Sebelum ini, Presiden PAS juga menafikan dakwaan beliau terlibat dengan kegiatan yang didakwa itu.
Setiuasaha Agung Umno sebelum ini mendakwa, Dr Asri akan menyertai Umno Jumaat ini bersama dengan 100 ulama lagi.

Dr Asri dan Dr Juanda berkata, apa yang didakwa oleh banyak pihak, terutama parti pembangkang bahawa isu keselamatan negara yang membabit ancaman pengganas yang digembar-gemburkan oleh pihak kerajaan adalah permainan politik, nampaknya mempunyai asas yang kukuh.

"Kerajaan Pusat kelihatan memperjudikan isu keselamatan negara yang diada-adakan untuk kepentingan tertentu," kata kenyataan bersama itu.

Buktinya, kata mereka, laporan Malaysiakini pada 22hb Jun 2010, yang menyatakan bahawa dalam satu taklimat keselamatan negara berhubung JI (Jamaah Islamiah) di Bukit Aman pada 21 Jun, yang dihadiri oleh Menteri, Timbalan Menteri dan TNC-TNC seluruh negara.

Penceramah yang diundang oleh pihak polis Zamihan Mat Zain dari ILIM telah mendakwa dengan satu dakwaan yang sangat jahat iaitu Presidan PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Datuk Seri Shahidan Kassim, mereka berdua berdua dan ramai lagi tokoh masyarakat dikaitkan dengan Wahabi dan pengganas JI.

Pertubuhan JIM pula dikaitkan dengan rangkaian pemikiran radikal di Timur Tengah.

"Dakwaan ini sangat jahat dan jelas sengaja diada-adakan" kata kenyataan bersama mereka berdua.

"Rakyat Malaysia mengenali pemikiran kami yang sentiasa menyeru kepada Islam yang progresif, keharmonian kaum dan agama, menentang sikap fanatik dan apa sahaja bentuk kekerasan pandangan.

"Isu-isu kami bawa selama ini sentiasa mendapat perhatian semua agama dan kaum kerana mempamerkan Islam yang “tolerance” dan berpaksikan kesesuaian hidup masyarakat yang serba rencam. Hal ini boleh dirujuk dalam berbagai tulisan dan kenyataan kami," katanya.

Justeru itu, kedua-dua berkata, Zamihan dan polis wajib bertanggungjawab atas fitnah ini.

"Bagi kami YB Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sama sekali tidak wajar dikaitkan dengan keganasan. Beliau ialah bekas MB Terengganu. Mengetuai sebuah parti politik tanahair sejak sekian lama. Ini melambangkan penghormatan beliau dan partinya terhadap amalan demokrasi dan hak kebebasan rakyat. Tuduhan terhadap beliau telah menghina sebuah parti politik yang selama ini melalui lunas-lunas sistem demokrasi negara ini. Sekali lagi, Zamihan dan polis perlu bertanggungjawab terhadap fitnah ini," kata kedua-duanya.

Mereka juga membela Datuk Seri Shahidan Kassim.

"Bekas MB Perlis dan kini Ahli Majlis Tertinggi UMNO. Naib Presiden PERKIM, Malaysia dan akvitis berbagai kebajikan rakyat. Layakkah orang seperti ini dituduh mempunyai kaitan dengan pengganas. Nampaknya UMNO dan BN sanggup membunuh rakan sendiri dalam memperjudikan kepentingan politik tertentu," kata mereka.

"Adapun JIM kami tidak mempunyai maklumat yang banyak mengenai mereka. Namun, kami percaya mereka bukan pengganas dan tidak layak dikaitkan dengan tuduhan jijik itu. Sebagai NGO, mereka mempunyai sumbangan kepada negara yang patut dihargai," kata mereka lagi.


Sehubungan itu, mereka mendesak pihak polis memberikan penjelasan kepada rakyat terhadap fitnah rambang ini.

"Siapakah Zamihan sehingga dia digunakan oleh pihak polis untuk membuat agenda jahat ini? Polis sepatutnya menyiasat beliau ini dan hubungannya dengan mentor yang selalu dirujuk kepadanya iaitu Hasan al-Saqqaf.

"Hasan al-Saqqaf yang terkenal suka menyesat dan mengkafirkan sesiapa yang berbeza pandangan dengannya itu, kini terbabit dengan isu keselamatan negara Jordan," kata mereka berdua.


"Jika pihak polis tidak menafikan dakwaan Zamihan ini, bererti pihak polis yang dikuasai oleh Menteri Keselamatan Dalam Negeri seakan sengaja menabur fitnah yang tidak berasas," katanya lagi.

Dengan ini, kata mereka, apa yang disebut oleh beberapa tokoh masyarakat seperti SM Idris dan pihak Pakatan Rakyat bahawa isu ini tiada asasnya kelihatan benar.

Bahkan ia berkemungkinan besar mainan politik kotor kerajaan yang memerintah untuk mengalihkan isu-isu tertentu.

"Dengan ini, kami menafikan sekeras-kerasnya tuduhan ini dan mengingatkan rakyat bahawa mana-mana pemerintahan atau parti politik yang sanggup memperjudikan isu keselamatan negara untuk kepentingan tertentu adalah sebuah pemerintahan yang tidak bertanggungjawab. Pemerintahan yang menggunapakai kaedah tipu muslihat, berbohong, menggadaikan maruah orang lain untuk kepentingan sempit, mencemarkan hak rakyat dan memanipulasikan isu keselamatan negara adalah amat merbahaya bagi sesebuah negara yang harmoni," tegas mereka berdua.

Di samping itu, mereka menyeru setiap lapisan rakyat agar menolak segala bentuk keganasan sama ada berupa tindakan ataupun pemikiran. Dan juga sekali lagi menyeru agar tidak mendokong pihak yang memperjudikan keselamatan negara demi kepentingan sempit.

1 ulasan:

Unknown berkata...

Salam...ana petik dari stu blog...jangan jadi seperti lalang

NIAT JAHAT! Itu kesimpulan yang dapat diberikan apabila membaca artikel jahat Malaysiakini 22 Jun 2010 tulisan Abdul Rahman Sabri, Jimadie Hassan dan Regina Lee bertajuk Ulama sertai Umno demi perlindungan politik? (sini).

Membaca tajuk artikel jahat berkenaan sudah cukup untuk menunjukkan Malaysiakini cuba untuk meningkatkan kebencian di kalangan penyokong Pakatan Haram terhadap UMNO, Dr. Mohd Asri dan 100 ilmuan berkelulusan agama yang dijangkakan akan menyertai UMNO Jumaat ini (25 Jun 2010). Tajuk artikel jahat itu juga menggambarkan seolah-olah Dr. Asri dan rakan-rakannya akan dilindungi dari suatu tindakan yang akan diambil ke atas mereka setelah menyertai UMNO.

Penulis melihat ia sebagai usaha terdesak untuk melaga-lagakan Kerajaan Persekutuan dengan kedua-dua tokoh agama berkenaan sehingga akhirnya akan menyebabkan Dr. Mohd Asri tawar hati untuk menyertai UMNO. Licik sungguh Malaysiakini memainkan peranan Pakatan Haram di sini.

Walaupun tajuk berkenaan diletakkan tanda soal di belakangnya, provokasi Malaysiakini ini telah berjaya mencapai matlamat apabila Dr. Mohd Asri dan Dr. Juanda (Mufti Perlis) mengeluarkan kenyataan bersama bertajuk Mengapa Kerajaan BN Berbohong? (sini) hari ini untuk menafikan apa yang terkandung di dalam artikel jahat Malaysiakini itu.

Adalah sesuatu yang malang apabila kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh kedua mereka hanya bersandarkan kepada artikel jahat Malaysiakini yang yang telah penulis nyatakan. Ini kerana di dalam kenyataan bersama itu, ayat yang mereka gunakan di awal-awal kenyataan pada Para 2 ialah seperti berikut:

“2. Buktinya, laporan Malaysiakini pada 22hb Jun 2010, yang menyatakan bahawa dalam satu taklimat keselamatan negara berhubung JI (Jamaah Islamiah) di Bukit Aman pada 21 Jun, …..”

Jika dilihat kepada artikel jahat Malaysiakini itu, wartawan-wartawan berkenaan hanya menggunakan perkataan-perkataan berikut secara berulang kali:

“difahamkan”, “Malaysiakini difahamkan”, “menurut sumber-sumber”, “difahamkan juga”, “menurut sumber”

Ini bermakna, berita yang diterima wartawan Malaysiakini itu hanyalah hear say, dengar cakap orang. Ia bukan sumber yang berwibawa, bukan dari telinga mereka sendiri. Berkemungkinan berita yang disampaikan itu telah ditokok-tambah terlebih dahulu sebelum ia ditokok-tambah pula oleh mereka.

Lanjutan dari itu, persoalan yang wujud ialah siapakah orang yang telah “memahamkan” wartawan-wartawan Malaysiakini itu?

Jika dilihat di dalam artikel jahat itu, ada dinyatakan bahawa sumber yang memberikan maklumat kepada mereka ialah “sumber yang hadir dalam program penerangan tersebut”. Soalnya ialah, siapa?

Adakah sumber berkenaan ialah orang yang menjaga sistem audio visual di dalam program itu? Atau mungkin caterer yang menyediakan kudapan untuk mereka yang hadir? Atau mungkin pemandu yang bertugas untuk membawa salah seorang dari ahli program? Ataupun yang sebenarnya mungkinkah sumber berkenaan langsung tidak wujud? Ia hanya diada-adakan?

Siapa sebenarnya sumber berkenaan perlu dinyatakan dengan jelas jika ia satu kebenaran. Apa yang Malaysiakini takutkan jika mereka benar?

Bagi menggambarkan kejayaan mereka melaga-lagakan Dr. Mohd Asri dengan Kerajaan Persekutuan, Malaysiakini melalui Jimadie Hassan dengan bangganya tidak mengambil masa yang lama untuk mengeluarkan artikel yang mengulas kenyataan bersama Dr. Mohd Asri dan Dr. Juanda (sini). Sedihnya, ketika penulis baru hendak menyelesaikan artikel ini, Shahidan Kassim pula termakan umpan jahat dari artikel jahat berkenaan (sini). Perangkap Malaysiakini sudah mengena. Licik, memang licik.

Penulis amat berharap agar pihak yang berkenaan tampil untuk memberikan kenyataan balas. Sekiranya ia tidak dilakukan maka orang ramai akan menaggapnya sebagai sesuatu yang benar. Jangan biarkan niat busuk mereka untuk menghalang kemasukan Dr. Mohd Asri dan 100 ilmuan berkelulusan agama ke dalam UMNO menjadi kenyataan.