Senarai Blog Saya

JOM FOLLOW | ...:::: BGM online ::::....

Isnin, 17 Mei 2010

Kemenangan di Sibu adalah anjakan paradikma bagi PR


Nik-Aziz-Anwar2 Oleh Fazy Sahir
PETALING JAYA: Kemenangan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sibu semalam merupakan satu anjakan paradigma dan mencatatkan kenangan manis buat semua pimpinan dan penyokong Pakatan Rakyat yang sekaligus berjaya menebus kekalahan ketika PRK Hulu Selangor 25 April lalu.
Setelah berhempas pulas berkempen di Sibu selama seminggu membuahkan hasil yang cukup membanggakan buat Pakatan Rakyat yang berjaya merampas Sibu yang menjadi kubu kuat Barisan Nasional sejak 28 tahun lalu.

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kemenangan itu membuktikan kuasa rakyat sebagai kuasa keramat.
"Rakyat Sibu membuktikan kepada kita semua bahawa kuasa rakyat, kuasa keramat. Mereka menzahirkan kepada kita semua, misi Menyelamatkan Malaysia dari segala kebejatan merupakan matlamat utama ketimbang tunduk menyerah kepada sogokan pimpinan Umno-BN," katanya melalui satu kenyataan media kepada Free Malaysia Today.
Sambil mengucapkan syabas buat rakyat Sibu yang memilih calon DAP Wong Ho Leng, dan setiap penggerak dan aktivis Pakatan, beliau mahu semua merenung semangat perjuangan yang menjadi pemangkin kepada Agenda Selamatkan Malaysia.
"Syabas rakyat Sibu dan setinggi-tinggi penghargaan buat semua penggerak dan aktivis Pakatan Rakyat. Ternyata keikhlasan, kecekalan dan kegigihan membuahkan hasil bermakna.
"Ini memberi pelajaran berguna kepada Pakatan Rakyat buat merenung erti semangat perjuangan yang selama ini menjadi pemangkin kepada Agenda Selamatkan Malaysia," kata beliau.
Wong yang mendapat 18,845 undi menewaskan Robert Lau Hui Yew dari BN (18,447) dan calon Bebas Narawi Haron (232) undi.
Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat melalui laman sosial Facebook memberi ucapan ringkas di atas kemenangan DAP semalam.
"Saya mengucapkan tahniah kepada DAP yg mewakili Pakatan Rakyat d atas kejayaan merampas Parlimen Sibu dari BN," katanya.
Borneo Bukan ‘fixed deposit’ Bagi BN
Penasihat DAP Lim Kit Siang memberi mesej jelas bahawa rakyat Sibu ‘muak’ denganlim kit siang_250_250 pemerintahan BN kini. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu mengambil ikhtibar di atas kekalahan tersebut.
"Rakyat sebenarnya sudah muak dengan permainan politik Barisan Nasional terutamanya setiap kali pilihan raya kecil.
"Mereka (BN) terlalu mudah untuk membeli jiwa rakyat dengan wang, bangkitnya rakyat kali ini bukti mereka mempunyai maruah tanpa boleh dibelikan oleh sesiapa sahaja.
"Maka Najib perlu ingat dan ambil iktibar atas kekalahan ini, jangan ingat Sarawak atau Sabah sebagai ‘fixed deposit’ mereka selama-lamanya, kata Lim.
Bekas calon PKR Hulu Selangor Datuk Zaid Ibrahim, berkata beliau melihat BN masih mengulangi taktik yang sama bagi meraih undi ketika Pilihan Raya Kecil tiga minggu lalu.
Menurut Zaid BN menggunakan ‘politik wang’ untuk membeli undi pengundi Sibu.
"Saya lihat BN masih menggunakan taktik sama yang digunapakai ketika di Hulu Selangor berulang di Sibu," katanya.
Sementara itu, pilihan raya kecil di Sibu merupakan yang ke-11 selepas 8 Mac 2008 dan pilihan raya kecil yang pertama bagi DAP.
Kejayaan DAP ini, yang bertanding mewakili Pakatan Rakyat, memberi anjakan paradigma kepada Pakatan bagi mengahadapi pilihan raya negeri Sarawak dalam waktu terdekat ini.
Pilihan raya kecil ini diadakan berikutan kematian Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Robert Lau Hoi Chew yang merupakan Ahli Parlimen Sibu selama lima penggal pada 9 April.

Tiada ulasan: