Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim duduk bersama  perwakilan ketika sesi pembahasan pagi tadi. — Gambar oleh Jack Ooi
KOTA BARU, 30  Mei — Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu “membetulkan rumah tangganya”  jika komponen Pakatan Rakyat itu mahu mencapai sasaran menawan Putrajaya  dalam pilihan raya umum ke-13.
Perwakilan dari  Melaka Rahim Ali melontarkan nasihat ini kepada pucuk kepimpinan parti  itu dan ahli-ahlinya ketika tumpuan perbahasan Kongres Nasional  Keenamnya di sini memfokus usaha Pakatan Rakyat yang mahu menawan  Putrajaya.
“Ini adalah kenyataan sebenar... jangan tersinggug  jika saya mengatakan perkara yang benar,” kata beliau sambil awal-awal  lagi mengakui tidak akan menerima tepukan dengan memberi nasihat ini.
“Kita kata  Selangor adalah asas kita hendak ke Putrajaya, masing-masing berhajat  untuk (ke Putrajaya)... bolehkah kita boleh sampai di sana?” kata beliau  dengan merujuk kepada kelemahan dan kekurangan yang wujud dalam urus  tadbir di semua peringkat PKR — pusat, negeri, cabang (bahagian) dan  ranting (cawangan).
Beliau juga menitikberatkan kelemahan dan  kekurangan pentadbiran kerajaan negeri Selangor.
“Parti perlu  meneruskan urus tadbir yang baik. Ini kena dijaga sehingga pilihan raya  umum ke-13,” katanya.
Sebagai contoh menurut Rahim, banyak perwakilan  menyentuh soal keperluan memenuhi kuota penyertaan 30 peratus wanita  dalam setiap peringkat parti.
“Tetapi adakah  kita mencapai 30 peratus perwakilan wanita di setiap peringkat.  Misalnya, di satu-satu cabang, jika keahlian sekitar 15,000 orang,  adakah ada 30 peratus keahlian membabitkan wanita.... kalau 30 peratus,  berapa jumlah keahlian wanita?” soal beliau.
“Saya rasa  masalah ini juga dihadapi di negeri-negeri lain,” katanya.
“Kita telus...  oleh kerana kita telus, kita kena cakap perkara yang sebenarnya. Kita  baiki dulu rumah (tangga) kita sebelum kita menyerang parti lawan,”  katanya.
PKR tidak memenangi sebarang kerusi di Melaka pada  pilihan raya umum lalu. Daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN),  DAP salah satu komponen Pakatan Rakyat, mempunyai lima kerusi.
Dalam  perbahasannya, Rahim juga mengkritik pengurusan AMK di negeri itu kerana  penyertaan pemimpin sayap pemuda PKR itu masih belum memuaskan.
Katanya, ada  pemimpin yang tidak menghadiri mesyuarat yang diadakan.
Rahim  berpendapat sikap tersebut perlu diperbaiki jika mahu mencapai matlamat  sasaran menawan Putrajaya.
Selain itu  beliau juga menimbulkan kegagalan PKR untuk mempertahankan kerusi  Parlimen Hulu Selangor.
“Kita sudah perintah Selangor, kita sudah ada asas  kewangan, kita sudah dua tahun memerintah, tetapi kita kalah di Hulu  Selangor.
“Kita perlu tanya soalan, walaupun kita tahu BN  beli undi di Sungai Buaya, kita boleh menang jika mempunyai jentera yang  mantap,” katanya lagi.
Ucapan perbahasannya juga menyentuh keperluan  mendisiplinkan ahli dan pemimpin sebagai satu lagi persiapan menghala ke  arah Putrajaya.
Dalam pada itu, seorang lagi perwakilan, Nordin  Ismail pula mempersoalkan penggunaan istilah “menawan” Putrajaya dengan  merujuk kepada cerita “gajah dan sang kancil.”
Sambil  menjelaskan istilah “menawan” merujuk kepada usaha membebaskan rakyat  daripada “pentadbiran zalim” Umno-BN, Nordin berkata, istilah tersebut  perlu digunakan dengan berhati-hati supaya tidak digunakan oleh “musuh  untuk menakutkan” rakyat dan pelabur.
“Pada tahun  1999, Terengganu dapat ditawan (oleh PAS) dengan Umno tinggal empat  kerusi, ada orang kata bahawa jikapun kucing bertanduk, Umno tidak boleh  ambil alih (balik) Terengganu,” katanya,
Bagaimanapun  Umno-BN mengambil alih negeri itu pada pilihan raya umum 2004.
“Tetapi tidak  mustahil ia tidak boleh berlaku di Selangor, saya cuma hendak memberi  peringatan,” kata beliau sambil menambah, Pakatan Rakyat perlu  meletakkan calon yang membawa identiti perikatan itu dengan manifesto  bersama.
“PAS dan PKR perlu mempunyai manifesto bersama  untuk memikat semula pengundi-pengundi yang pernah menyokong gerakan  reformasi pada tahun 1999,” katanya.
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan